Translate

Friday, January 8, 2010

Bekas MB Perak cedera kereta terbalik


Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin nyaris maut selepas kereta dipandunya terbabas sehingga keempat-empat tayarnya naik ke atas di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah di sini semalam.

Semasa kejadian pada pukul 9.20 pagi itu, Mohammad Nizar dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Rokam ke sebuah klinik gigi di Jalan Sultan Idris Shah di sini.

Ketua Trafik negeri, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu cuba mengelak sebuah kereta Volvo berwarna emas yang keluar secara tiba-tiba dari Jalan Seruan.

Katanya, kereta Toyota Camry 2.0 berwarna kelabu yang dipandu Mohammad Nizar telah melanggar bahagian depan sebelah kanan kereta Volvo tersebut yang dipandu seorang doktor wanita dari sebuah pusat perubatan swasta di sini.

“Beliau cuba mengelak sebuah kereta sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan menyebabkan keretanya terbalik.

“Mohammad Nizar yang hanya cedera ringan di dahi dan tangan kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Mohammad Nizar ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan HRPB berkata, beliau sendiri tidak menyangka tindakannya mengelak daripada merempuh kereta Volvo itu mengakibatkan kenderaan dipandunya terbalik.

“Saya ada temu janji dengan doktor gigi dan sedang dalam perjalanan melalui jalan tersebut, sebuah kereta keluar secara tiba-tiba dan saya cuba mengelak daripada bertembung.

“Selepas terbalik, saya gagahkan diri dan berjaya keluar dengan merangkak keluar sebelum ada seorang pemandu prihatin dari arah bertentangan membawa saya ke hospital ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pasir Pan jang itu menerima satu jahitan di sikunya dan luka kecil di dahinya setelah terkena serpihan cermin mata beliau yang pecah namun keadaannya dilaporkan stabil.

Mohammad Nizar yang masih terkejut dengan kejadian itu ditahan di Wad 8C HRPB untuk rawatan lanjut kerana me ngalami tekanan darah meningkat dan dijangka dibenarkan pulang hari ini.


No comments:

Post a Comment