Translate

Monday, January 25, 2010

FAMA perkenal 'Jom Sarapan Pagi' di pasar tani

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak memberi imej baru kepada pasar tani di negeri ini dengan memperkenalkan konsep bersarapan sambil membeli.

Timbalan Pengarah FAMA Perak, Mukram Faizal Mustaza berkata, menerusi program ‘Jom Sarapan Pagi’, FAMA menyediakan sudut gerai makan yang tersusun dan menarik di setiap pasar tani terbabit.

“Selain memberi peluang kepada usahawan makanan berniaga di pasar tani, kita mahu menarik pengunjung bersarapan di kawasan tersebut sambil membeli barangan keperluan.

“Sebagai permulaan program ‘Jom Sarapan Pagi’ ini di mulakan di Pasar Tani Kampung Simee di sini mulai hari ini (semalam) dan akan disusuli dengan 19 pasar tani lain di seluruh Perak dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan 25 tahun penubuhan pasar tani di Pasar Tani Kampung Simee di sini semalam.

Dalam majlis sama, Mukram Faizal turut mengumumkan pasar tani terbabit sebagai Pasar Tani Terbaik Perak 2008.

Beliau berkata, sudut gerai makan terbabit menyediakan pelbagai sajian sarapan menarik dan bercirikan (masakan) tempatan seperti nasi goreng ikan rebus, nasi lemak jagung, air bandung kelapa dan mihun sup.

“Selain itu, sehingga 27 Februari depan, pengunjung juga boleh menikmati sarapan dengan harga istimewa iaitu diskaun antara 80 sen hingga RM1 bagi setiap sajian.

“FAMA Perak yakin pengenalan sudut gerai makanan dapat meningkatkan jualan pasar tani negeri ini kepada RM15 juta pada tahun ini berbanding RM13 juta pada tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu Mukram Faizal memberitahu lima pasar tani juga akan dibuka di Batu Gajah, Manjung, Parit, Kuala Kangsar dan daerah Kinta pada pertengahan tahun ini.

No comments:

Post a Comment