Translate

Tuesday, July 21, 2009

Kuala Kangsar jadi pusat ilmu



MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Selain dikenali sebagai bandar diraja, Kuala Kangsar disasar untuk menjadi pusat perkembangan ilmu bagi negeri Perak pada masa terdekat.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, pembukaan kampus Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) di Bukit Chandan di sini semalam adalah titik bermulanya wawasan baginda itu.

“Adalah menjadi wawasan beta supaya bandar Kuala Kangsar dikenali dengan dua identiti berkembar, pertama sebagai bandar diraja dan kedua sebagai kota ilmu.

“Oleh itu, di samping pengajian sepenuh masa, Kisdar hendaklah terlibat aktif menawarkan program pendidikan sepanjang hayat kepada masyarakat bandar ini dan sekitar,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Kisdar di kampus institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tersebut yang seluas 20.25 hektar di tapak tanah yang diwakafkan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah di sini semalam.

Kisdar yang ditubuhkan pada 1999 telah berpindah di kampus tetap di Bukit Chandan pada pertengahan tahun lalu dan kini mempunyai 820 pelajar dan menawarkan enam kursus pengajian berteraskan Islam pada peringkat diploma.

Sultan Azlan bertitah, pengurusan kolej berkenaan perlu kerap menganjurkan kuliah, bengkel, seminar dan kursus singkat dan mengoptimumkan penggunaan kemudahan fizikal yang terdapat di kampus tersebut untuk manfaat masyarakat.

Baginda bertitah, pada masa sama, penduduk bandar ini juga harus bijak mengenal pasti limpahan faedah dan mengambil peluang menyertai aktiviti hiliran berikutan kewujudan kampus Kisdar.

“Pihak berkuasa berkaitan juga diseru memperlengkapkan prasarana, kemudahan dan perkhidmatan di bandar diraja ini untuk memenuhi pertambahan bilangan pelajar dan ahli akademik di bandar diraja ini,” katanya.

Dalam pada itu, baginda memuji tindakan anakandanya, Raja Nazrin yang telah bermurah hati mewakafkan tanah milik baginda untuk dijadikan tapak kolej terbabit.

“Sebelum ini, moyang Beta, Sultan Idris Shah I telah mewakafkan tanah untuk mendirikan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Madrasah Idrisiah yang juga terletak di bandar ini.

“Beta bersyukur semangat sama telah diperlihatkan anakanda Raja Nazrin Shah,” titah baginda.

No comments:

Post a Comment