Translate

Monday, July 13, 2009

Pembiayaan mikro di bank asing

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kementerian Kewangan telah membenarkan semua institusi perbankan antarabangsa yang beroperasi di negara ini untuk membuka cawangan pusat skim pembiayaan mikro masing-masing dalam masa terdekat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, setiap bank antarabangsa terbabit boleh membuka 10 cawangan pusat tersebut di seluruh negara.

"Dasar tersebut telah diluluskan Kementerian Kewangan baru-baru ini. Saya difahamkan pusat skim pembiayaan mikro tersebut akan dibuka dalam masa terdekat.

"Ia bertujuan untuk memudahkan peniaga kecil mendapat pinjaman mikro sekali gus mampu menjana pertumbuhan usahawan kecil dan sederhana di seluruh negara," katanya.

Ahmad Husni berkata, kewujudan pusat skim pembiayaan mikro oleh institusi perbankan antarabangsa itu merupakan bonus daripada pengumuman tambahan RM150 juta untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) oleh Per dana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan kini sedang berusaha untuk memudahkan kemudahan pinjaman mikro tersebut bagi menggalakkan rakyat negara ini menceburi bidang keusahawanan.

"Sememangnya dalam modul ekonomi baru yang sedang dirangka kerajaan, penumpuan turut diberikan untuk pengu kuhan industri mikro bagi membantu rakyat terutamanya dari luar bandar menjana ekonomi.

"Beberapa langkah sedang dan akan diperkenal untuk me rangsang pertumbuhan industri berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment