Translate
Thursday, July 2, 2009
Hidup makin selesa di Kampar
KAMPAR yang dahulunya hanya sebuah pekan kecil kini berkembang menjadi bandar baru sejak penubuhan Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) beberapa tahun lalu.
Bagi Han Kar Kay, 21, yang merupakan pelajar tahun dua jurusan Sarjana Muda Komunikasi Media institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan, beliau yakin bandar itu akan semakin pesat membangun berikutan pengisytiharannya sebagai daerah penuh pada 21 Mei lalu.
Ikuti pandangan Kar Kay tentang masa depan Kampar kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
Kosmo! : Dimana dan apakah jenis kediaman anda?
KAR KAY : Saya menyewa bersama-sama lima rakan sekampus di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Baru Kampar yang terletak tidak jauh dari Kampus UTAR.
Apakah keistimewaan menetap di situ ?
Selain hanya terletak tak sampai kira-kira dua kilometer dari kampus, Bandar Baru Kampar adalah sebuah bandar berpusat yang agak lengkap kemudahannya seperti pasar raya, taman rekreasi, restoran, kafe siber dan kedai fotostat.
Lokasi prasarana dan kemudahan terbabit juga terletak berdekatan dan ia memudahkan dan memenuhi keperluan saya sebagai pelajar.
Bandar ini juga agak tenang dan kurang sesak serta tahap keselamatannya menyakinkan berikutan indeks kadar jenayah yang kurang.
Cuma yang masih kekurangan ialah sistem pengangkutan awam masih lemah dan ketiadaan pusat hiburan dan keriangan untuk bersantai pada hujung minggu.
Maksudnya?
Sukar untuk mendapatkan perkhidmatan bas henti-henti dan teksi di sini.
Sepanjang dua tahun menetap di bandar ini saya mendapati bas awam di sini tidak mempunyai jadual tetap dan teksi pula tidak begitu banyak.
Saya dan kawan-kawan juga sukar untuk memenuhi minat menonton wayang dan bermain boling kerana tiada satupun pawagam dan pusat permainan boling di bandar ini.
Untuk tujuan berkenaan kami terpaksa ke bandar raya Ipoh yang terletak kira-kira 45 kilometer dari sini.
Namun saya percaya ia akan selesai tidak lama lagi kerana difahamkan kerajaan negeri Perak mempunyai perancangan jangka panjang bagi mengatasinya.
Lagipun penubuhan kampus UTAR dan pengisytiharan se bagai daerah ke-10 Perak banyak merubah landskapnya.
Apa perubahan yang telah anda lihat telah berlaku di Kampar?
Dalam tempoh tak sampai tiga tahun, Kampar berkembang pesat menjadi pusat pengembangan ilmu dengan adanya kampus UTAR di sini.
Bandar ini yang dahulu sepi dan rata-ratanya didiami warga emas kini semakin padat dengan kehadiran generasi muda yang bukan sahaja golongan pelajar tetapi individu yang mula yakin prospek Kampar.
Banyak infrastruktur baru dibina dan peluang perniagaan juga semakin melambak. Malah saya difahamkan nilai hartanah di sini juga telah meningkat seiring dengan tarafnya sebagai daerah baru.
Saya percaya tidak lama lagi Kampar berpotensi tinggi untuk menjadi bandar satelit untuk Ipoh. - MOHD AZLI ADLAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment