Translate

Wednesday, July 1, 2009

9,200 anak Perak ke IPT terima dermasiswa

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seramai 9,200 anak Perak yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) untuk sesi 2009 layak menerima dermasiswa masing-masing daripada kerajaan negeri mulai semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pada tahun ini, peruntukan sebanyak kira-kira RM8 juta telah disediakan bagi membantu pelajar membuat persediaan pendaftaran kemasukan pertama ke IPT.

“Peruntukan itu lebih RM6 juta berbanding tahun lalu dan pada tahun ini, dermasiswa itu diperluas kepada anak tempatan yang memasuki IPT peringkat diploma, sijil, matrikulasi dan asasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Dermasiswa Pendidikan Perak bagi fasa pertama kepada 442 pelajar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Nadzri Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Perak, Mohd. Zahir Abdul Khalid.

Zambry berkata, bagi peringkat pengajian ijazah sarjana muda (sains), pelajar terbabit menerima RM1,200 dan ijazah sarjana muda (bukan sains) pula RM1,000.

Beliau berkata, derma siswa RM500 diberi kepada anak tempatan yang melanjutkan pelajaran peringkat diploma dan RM300 pula untuk peringkat sijil, matrikulasi dan asasi.

“Yayasan Perak diamanahkan untuk mengurus dan menyelaras pemberian dermasiswa ini dan golongan daripada keluarga yang berpendapatan di bawah RM1,500 diberi keutamaan.

“Baki lebih 8,700 anak Perak lain yang layak akan menerima bantuan kewangan tersebut dalam masa terdekat melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment