Translate

Tuesday, July 28, 2009

Perak bakal jadi pengeluar spirulina terbesar dunia


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Sebuah syarikat multinasional dari China telah menunjukkan minat untuk membina sebuah kilang pembuatan makanan tambahan spirulina yang dianggarkan bernilai RM300 juta di Perak dalam tempoh dua tahun akan datang.

Exco Kanan Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, sekiranya rancangan itu menjadi kenyataan, negeri ini bakal menjadi antara pengeluar spirulina terbesar dunia. Bagaimanapun beliau tidak memberi butiran lanjut mengenai syarikat berkenaan.

Menurutnya, buat masa ini kajian awal sedang diperincikan oleh syarikat tersebut dan Perak dipilih kerana ia memiliki banyak gunung- ganang yang akan memudahkannya membangunkan kilang yang akan menggunakan teknologi penyulingan air gunung.

"Kerajaan negeri amat mengalu-alukan cadangan tersebut dan kami sentiasa memberi perhatian dan sokongan kepada industri bioteknologi yang akan dimajukan di negeri ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pendekatan Hijau untuk Perawatan Sisa Air- Bio Pengubatan dan Generasi Tenaga di Pusat Dagangan Tekno Perak (PTTC) di sini semalam.

Seminar anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) dan Persekutuan Pengeluar Malaysia (FMM) cawangan Perak itu adalah sebahagian daripada kerjasama tiga pihak terbabit bagi mengkomersial kajian bioteknologi untuk manfaat Perak.

Hamidah yang juga memegang portfolio pelaburan, pembangunan usahawan, ICT, pelancongan dan hal ehwal wanita berkata, setakat ini tiga lokasi pilihan di sekitar bandar raya ini telah dikenalpasti untuk pembinaan kilang terbabit.

"Bagaimanapun, syarikat dari China itu dilihat agak berminat dengan lokasi berhampiran Sungai Kampar dekat sini tetapi keputusannya itu masih bergantung kepada hasil kajian yangd sedang dilakukannya.

Menurut beliau, projek mega ini bukan sahaja akan menyemarak industri bioteknologi di negeri ini tetapi juga menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

No comments:

Post a Comment