Translate

Tuesday, July 8, 2025

Pesara pensyarah rugi RM90,541 terperdaya skim pelaburan palsu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pesara untuk meraih keuntungan berganda tidak kesampaian malah kerugian RM90,541 apabila diperdaya skim pelaburan tidak wujud.

Bekas pensyarah sebuah universiti awam di Kuala Nerus itu yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu di sini pada pukul 2.24 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki berusia 59 tahun tersebut menerima mesej daripada salah seorang kenalan Facebooknya yang menawarkan skim pelaburan berkenaan.

“Mangsa yang berminat telah menyertai pelaburan itu. Dia semakin seronok apabila menerima pulangan RM 2,767 menerusi tiga kali transaksi awal dilakukan.

“Pesara tersebut kemudiannya menambah lagi pelaburan sehingga RM90,541,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, lelaki itu mula curiga apabila menerima mesej pelik daripada individu tidak dikenali kononnya wakil syarikat pengawasan siber pada Rabu lalu mendakwa berlaku ralat pada transaksi terakhir pelaburan dilakukan mangsa kerana tidak memasukkan nombor rujukan.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diarahkan untuk membayar denda RM31,400 berikutan kesalahan tersebut,” katanya.

Azli berkata, lelaki itu tambah curiga apabila suspek mendakwa akan memulangkan wang pelaburan RM 433,000 sekiranya melunaskan denda terbabit. – KOSMO! ONLINE

Monday, July 7, 2025

Nyaris disaman, rupanya tali pinggang keledar rosak

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebuah syarikat pengendali bas ekspres diberi amaran ekoran gagal memastikan tali pinggang keledar penumpang berada dalam keadaan baik.

Dalam operasi penguatkuasaan malam tadi, dua penumpang wanita panik apabila nyaris disaman anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tidak memakai tali pinggang keledar kerana alat itu tidak berfungsi.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, dua gadis berusia dalam lingkungan 20-an itu dilepaskan apabila pemeriksaan mendapati aksesori tersebut mengalami kerosakan.

Sebaliknya pemandu bas terbabit diberi amaran kerana tidak memeriksa tali pinggang keledar sebelum bergerak dari terminal bas.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana bas ekspres tersebut masih baru keluaran tahun 2024,” katanya yang mengetuai operasi khas itu di Chendering di sini malam tadi.

Mohd. Zamri berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengendali bas ekspres di Terengganu berhubung penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar oleh pemandu dan penumpang minggu depan.

Sebanyak empat saman dikeluarkan di negeri ini dalam tempoh tiga hari sejak hari pertama penguatkuasaannya pada Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE

Hindari khurafat, jaga sensitiviti keluarga Nurly – Na’im

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Orang ramai yang menziarahi rumah dan kubur Allahyarham Nurly Sahirah Azman dinasihatkan agar menjaga sensitiviti keluarga dan menghindari perbuatan khurafat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, mereka diharap tidak terlalu teruja sehingga melakukan perbuatan bertentangan dengan syariat.

“Minta sangat masyarakat jaga adab. Kita semua sayang Nurly, buat perkara-perkara disuruh agama dan doakan keampunan dosanya.

“Ambil ibrah (pengajaran) ziarah kubur orang yang Allah beri kelebihan ini, bukan ambil tanah kuburnya bawa balik rumah,” katanya ketika menyantuni keluarga Nurly Shahirah di Kampung Gong Pasir di sini hari ini.

Beliau menyantuni sebahagian keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dan cedera dalam nahas bas persiaran di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu menerusi program Ziarah Madani Peduli.

Mohd. Na’im berkata, ibubapa Nurly iaitu Azman Mohamed, 63, dan Kamariah Abdul Latif, 60, pastinya kurang selesa dan bersedih sekiranya perkara khurafat melibatkan anak bongsu mereka berterusan selepas ini.

Beliau berkata, kedua-dua orang tua pelajar UPSI terbabit tidak mahu kebaikan dilakukan anak perempuan mereka sepanjang hayatnya tercalar ekoran perbuatan khurafat segelintir individu berkenaan.

Kosmo! Isnin lalu melaporkan keluarga Nurly memutuskan untuk tidak menerima tetamu selama empat hari sehingga hari ini berikutan dakwaan berlakunya perbuatan khurafat mengambil tanah kubur gadis tersebut. – KOSMO! ONLINE