Translate

Tuesday, August 5, 2025

Empat premis disyaki jual cecair vape tiruan diserbu KPDN

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebanyak empat premis rokok elektronik atau vape di bandar raya ini dan Kuala Nerus diserbu pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam kerana disyaki menjual cecair isian semula vape tiruan.

Serbuan bermula pada pukul 12 tengah hari itu berjaya merampas 1,405 unit cecair isian semula berkenaan bernilai keseluruhan RM21,094.

Operasi bersepadu tersebut turut melibatkan agensi lain seperti Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu serta Kuala Nerus.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, serbuan dilakukan berikutan aduan daripada pemilik cap dagangan berdaftar produk berkaitan.

“Operasi membabitkan tiga premis di bandar raya ini dan sebuah di Kuala Nerus.

“Serbuan menjumpai 1,405 unit cecair isian semula rokok elektronik yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Mufsi berkata, seramai empat lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai pemilik dan pekerja premis vape terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, beberapa dokumen perniagaan turut disita bagi tujuan siasatan. – KOSMO! ONLINE

Prof. Madya rugi RM172,170 terperdaya pelaburan kripto palsu, ‘love scam’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pensyarah kanan sebuah universiti awam di Terengganu yang berpangkat Prof. Madya kerugian keseluruhan RM172,170 apabila menjadi mangsa dua sindiket penipuan berasingan iaitu skim pelaburan tidak wujud dan ‘love scam’ dalam tempoh kira-kira seminggu.

Lelaki berusia 54 tahun yang masing-masing kerugian RM162,170 akibat diperdaya skim pelaburan kripto palsu dan RM10,000 bagi ‘love scam’ membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 3.12 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, ahli akademik itu diperkenalkan dengan skim pelaburan kripto oleh seorang wanita kononnya dari Hong Kong yang dikenalinya menerusi aplikasi perkenalan, TilMatch pada 15 Julai lalu.

“Mangsa yang tertarik menyertai skim kripto itu telah membuat pelaburan keseluruhan RM162,700 yang merupakan simpanan peribadinya.

“Transaksi menerusi akaun Luno miliknya tersebut dilakukan sebanyak lima kali antara 19 Julai hingga 25 Julai lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, pensyarah kanan berkenaan hanya menyedari tertipu apabila tidak dapat mengeluarkan keuntungannya tetapi diarah pula oleh suspek untuk terus membuat pelaburan.

Dalam pada sama, beliau berkata, lelaki itu berkenalan dengan seorang wanita lain menerusi aplikasi perkenalan sama, TilMatch pada 7.15 pagi, 27 Julai lalu sebelum mereka menjalin percintaan alam maya.

“Wanita itu mendakwa mahu menghantar barang kepada mangsa sebelum dihubungi suspek lain kononnya wakil syarikat kurier yang meminta lelaki tersebut membayar RM4,000 kononnya sebagai kos penghantaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Mahu untung besar akhirnya rugi RM104,844

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang lelaki warga emas untuk meraih keuntungan besar daripada pelaburan mata wang asing atau forex berkecai malah dia pula kerugian RM104,844 akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer.

Lelaki berusia 77 tahun yang kehilangan wang simpanannya itu membuat laporan kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 4.47 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya lelaki warga emas terbabit diperkenalkan dengan skim pelaburan forex terbabit oleh seorang wanita yang merupakan kenalan laman Facebooknya pada bulan Mei lalu.

“Lelaki itu kemudiannya dihubungi seorang wanita lain yang mendakwa kakak kenalan Facebooknya menawarkan diri kononnya mahu membantu mangsa membuat pelaburan forex tersebut pada 28 Mei lalu.

“Suspek mendakwa kononnya mangsa hanya perlu mengeluarkan modal manakala urusniaga pelaburan tersebut diuruskannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, warga emas terbabit yang tertarik telah membuat pelaburan awal RM3,000 sebelum tanpa sedar telah diberikan resit palsu kononnya wang modal itu bertujuan membuka akaun forex miliknya.

Beliau berkata, lelaki berkenaan terus menambah pelaburan RM69,000 sebelum teruja kerana didakwa telah mendapat keuntungan berlipat ganda.

“Begitupun mangsa tidak dapat mengeluarkan keuntungan kerana didakwa mempunyai unsur pengubahan wang haram sebaliknya diarahkan membuat pembayaran bagi ‘membersihkan’ keuntungannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE