Translate

Thursday, July 3, 2025

Bot terbalik Pulau Perhentian: Jurukemudi mengaku ambil dadah Nimetazepam

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Pemandu bot yang terlibat dalam insiden bot terbalik sehingga mengorbankan tiga pelancong di Pulau Perhentian dekat sini Sabtu lalu mengaku bersalah menyalah guna dadah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Azrie Yazid, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md. Zukri.

Berdasarkan pertuduhan, Azrie didakwa memasukkan dalam dadah jenis Nimetazepam ke dalam badannya.

Tertuduh didakwa berbuat demikian di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini pada pukul 10.05 pagi, 29 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1957 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Azrie dibebaskan dengan wang jaminan RM2,500 dan seorang penjamin.

Sebutan semula kes bagi menerima laporan patologi ditetapkan pada 4 September depan.

Kosmo! Isnin lalu melaporkan bot dipandu suspek yang membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun terbalik akibat dipukul ombak besar berhampiran Pulau Perhentian Besar, dekat sini. – KOSMO! ONLINE

Wan Hasbullah pergi ziarah kubur arwah Nurly

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang peniaga, Wan Hasbullah Wan Abdul Halim, 42, untuk mengadakan majlis kesyukuran sempena perkahwinan kali kedua tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 79, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Guntung, Setiu semalam.

Adik bongsu mangsa, Wan Zainul berkata, Allahyarham yang juga anak kelima daripada sembilan beradik baru mengahwini Wan Nazirah Wan Fauzi, 37, pada minggu lalu.

“Begitupun arwah masih belum menetapkan tarikhnya (kenduri kesyukuran),” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, di sini malam tadi.

Kosmo! semalam melaporkan seorang peniaga yang baru empat hari melangsungkan perkahwinan maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 ditunggangi terlibat dalam kemalangan di KM 79, Jalan  Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Guntung, Setiu.

Wan Zainul berkata, sewaktu kejadian, arwah abangnya yang aktif dalam kumpulan permotoran berkuasa tinggi, Alternatif Riding Club (ARC) dalam perjalanan ke Besut untuk menemui anggota ARC.

“Arwah abang (Wan Hasbullah) merupakan pengerusi ARC Terengganu. Difahamkan dia mahu berjumpa anggota kelab permotoran tersebut yang berasal dari Kedah.

“Mereka menginap di Besut untuk menyantuni keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Shahirah Azman di Kampung Gong Pasir, Besut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, July 1, 2025

Buli MRSM: Lima pelajar dibebas dengan jaminan polis

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Lima pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut yang ditahan reman sejak kelmarin bagi membantu membantu siasatan kes buli dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, baki dua lagi pelajar institusi pengajian sama yang turut ditahan reman semalam pula akan dibebaskan esok.

“Kesemua mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan lanjut diteruskan.

“Keluarga dan penjaga keluarga pelajar terlibat akan dihubungi pegawai penyiasat bagi prosedur seterusnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azamuddin berkata, siasatan selepas ini menjurus kepada pengesanan saksi-saksi yang menyaksikan kejadian buli terbabit.

Katanya, pihak polis juga akan mendapatkan laporan perubatan dan laporan prestasi pelajar bagi melengkapkan siasatan.

“Kertas siasatan seterusnya akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan selanjutnya.

Kosmo! hingga melaporkan tujuh pelajar berusia dalam lingkungan 15 hingga 17 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan membuli dua pelajar berusia 14 tahun hingga cedera. – KOSMO! ONLINE