Translate

Thursday, June 1, 2017

Lintasan pejalan kaki 3D tarikan baru Kuala Nerus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kewujudan lintasan pejalan kaki tiga dimensi (3D) di perkarangan medan selera berkonsep kabin, Dapo Pata, Tok Jembal di sini sejak kelmarin mendapat perhatian ramai terutama dalam kalangan pelancong.
Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abd. Jalil berkata, lintasan pejalan kaki 3D itu merupakan tarikan pelancongan terbaharu yang mahu diperkenalkan di daerah berkenaan.
"Ia merupakan inisiatif Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Nerus untuk meningkatkan daya penarik di kalangan pelancong ke daerah ini.
"Lokasi Dapo Pata dipilih kerana ia merupakan antara kawasan tumpuan pelancong di Kuala Nerus dan kita galakkan mereka bergambar dengan lintasan penjalan kaki 3D yang pertama di Terengganu tersebut," katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di sini hari ini. - K! ONLINE

Harga ikan di Terengganu naik 30 peratus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perikanan Terengganu mendapati berlaku kenaikan harga ikan sehingga 30 peratus di negeri tersebut sejak awal Ramadan ini bermula pada Sabtu lalu.
Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, kenaikan itu berlaku walaupun pendaratan ikan di negeri berkenaan pada waktu ini telah meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
"Pendaratan ikan oleh nelayan tempatan sehingga April lalu ialah 12,824 metrik tan yang bernilai kira-kira RM76 juta. Sememangnya bulan April hingga Jun merupakan musim ikan banyak di negara ini.
"Begitupun, harga ikan didapati telah meningkat antara 25 hingga 30 peratus. Ia disebabkan permintaan tinggi pada bulan Ramadan dan dijangka bersifat sementara," katanya selepas melakukan lawatan ke pusat pendaratan ikan di Pulau Kambing di sini hari ini. - K! ONLINE

Kadar zakat fitrah di tiga negeri kekal RM7 tahun ini

PERLIS – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Me­layu Perlis (MAIPs) semalam mengumumkan kadar zakat fitrah iaitu RM7 pada tahun ini.

Kadar itu ditetapkan selepas mendapat perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Yang Dipertua MAIPs.
Di Kuala Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pula mengumumkan kadar zakat fitrah pada tahun ini kekal pada kadar minimum RM7.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kadar itu berdasarkan harga beras Gred Super Tempatan 10 peratus dan lima peratus hancur yang merupakan makanan utama sebahagian besar penduduk negeri berkenaan.

“Pembayaran zakat pada tahun ini hanya boleh dibuat dengan wang tunai berban­ding sebelum ini turut me­nerima beras,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Seri Iman semalam.

Di Shah Alam, Selangor, kadar zakat fitrah di negeri itu pada tahun ini kekal RM7.