Translate

Wednesday, February 3, 2016

58 didakwa terlibat ajaran sesat

Oleh MOHD.AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Seramai 58 individu termasuk 12 wanita yang dipercayai pengikut ajaran sesat, Milah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini petang tadi.
Mereka yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 59 tahun ditahan dalam serbuan oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Bilik Sakura, Tingkat Satu, Pusat belia Antarabangsa, Jalan Yaakob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras di sini pada pukul 8.32 malam, semalam.
Sewaktu diserbu, kesemua tertuduh sedang mengikuti ceramah ajaran sesat berkenaan yang berselindung di sebalik seminar perniagaan jualan langsung yang memasarkan produk penapis air.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Kanan, Zainor Rashid Hassin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam syarie. K! ONLINE

Tuesday, February 2, 2016

Pengawal keselamatan didakwa takutkan isteri dengan pisau

KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya pada 25 Januari lalu.
Berdasarkan pertuduhan, M. Suresh, 35, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan meletakkan sebilah pisau di atas meja semasa pertengkaran dengan tujuan menakutkan isterinya, B. Vanitah, 34, di rumah mereka di Blok A-17-05, PPR Intan Baiduri, Kepong di sini pada pukul 10.30 malam hari berkenaan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Majistret Saifulakmal Said membenarkan Suresh dibebaskan dengan wang jaminan RM2,500 dan seorang penjamin.
Beliau juga memerintahkan tertuduh agar tidak menganggu mangsa dan memerintahkan sebutan semula kes pada 22 Februari depan. - K! ONLINE

Penganggur curi sardin dipenjara seminggu

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM100 setelah mengaku salah mencuri enam tin sardin jenama Ayam Brand bernilai RM33.30 pada Sabtu lalu.
Majistret Saifulakmal Said turut mengarahkan Chng Kim Fatt, 44, menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan gagal mengemukakan kad pengenalan berdasarkan Peraturan 7(1) Peraturam Pendaftaran Negara 1990.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Kim Fatt didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di pasar raya 99 Speedmart, Jalan Jinjang Utama di sini pada pukul 8 malam, 30 Januari 2016. - K! ONLINE