Translate

Sunday, January 5, 2025

Wanita rugi RM252 ribu ditipu projek bekal jubah konvo

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang usahawan wanita berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM252,150 apabila diperdaya sindiket yang menawarkan tender pembekalan jubah konvokesyen dan pakaian seragam yang sebenarnya tidak wujud. 

Mangsa berusia 47 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 2.57 petang kelmarin. 

 Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya wanita itu dihubungi suspek untuk menawarkan kononnya projek pembekalan jubah konvokesyen dan pakaian seragam sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Dungun pada 1.13 tengah hari pada 23 Disember lalu. 

 “Mangsa yang berminat kemudian diminta menghubungi seorang individu lain yang didakwa sebagai pembekal vendor terdahulu. 

 “Suspek kedua yang dihubungi kemudian menawarkan sebut harga tender pembekalan baju korporat dan cenderahati untuk IPT berkenaan. 

 “Hasil perbincangan, mangsa berpuas hati dan bersetuju dengan sebut harga ditawarkan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

 Azli berkata, usahawan wanita berkenaan kemudian membuat pembayaran keseluruhan RM252,150 ke dalam lima akaun bank berasingan seperti diarahkan suspek. 

Katanya, mangsa kemudian terkejut apabila mendapati tender pembekalan tersebut sebenarnya tidak wujud apabila membuat semakan dengan pengurusan IPT berkenaan. 

 “Dia menyedari tertipu dengan wang syarikatnya berjumlah RM252,150 lesap. 

 “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment