Oleh NOOR HASLIZA NUSI, MOHD. AZLI ADLAN, ABDUL RAZAK IDRIS dan AIMUNI TUAN LAH
GEORGE TOWN – Rata-rata ibu bapa melahirkan rasa lega dan bersyukur dengan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diberikan secara berperingkat bermula minggu depan.
Menurut mereka, bantuan tersebut walaupun dianggap kecil bagi sesetengah orang, namun tetap memberi manfaat kepada ramai keluarga B40 terutama yang mempunyai anak ramai.
Seorang kakitangan swasta, Khairul Amsyar Nordin, 41, berkata, bantuan tersebut akan digunakan sebaiknya untuk keperluan persekolahan tiga anaknya yang berusia 16, 12 dan lapan tahun.
Katanya, dia dan isteri tidak perlu menunggu gaji hujung bulan untuk membeli barangan persekolahan, sebaliknya akan menggunakan wang BAP untuk membeli kelengkapan termasuk pakaian sekolah baharu pada minggu depan.
“Lega dan tidak perlu lagi pening kepala memikirkan kos yang bakal ditanggung kerana kami boleh membuat persiapan sekolah anak-anak lebih awal.
“Kami tidak perlu lagi menunggu saat akhir untuk membuat persiapan sekolah anak-anak. Tambahan pula, kita juga akan berpuasa tidak lama lagi dan selepas itu akan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang ibu, Siti Jamilah Hanim Jamil, 42, berkata, inisiatif kerajaan memberi BAP awal sebelum cuti persekolahan amat membantu dalam persediaan kelengkapan sekolah tiga anaknya.
“Saya akan dapat keseluruhan RM450 dan duit ini akan kami gunakan sebaiknya untuk membeli barang keperluan persekolahan anak-anak.
“Bagaimanapun, saya dan suami perlu merancang perbelanjaan keluarga sebaiknya agar persiapan persekolahan anak-anak dan Hari Raya Aidilfitri dapat disempurnakan sebaiknya,” katanya.
Selain itu, Siti Jamilah Hanim juga memuji pendekatan baharu KPM yang turut mengurangkan birokrasi dengan menyalurkan terus BAP ke akaun bank anak-anak atau ibu bapa.
Bagi Ainul Mardhiah Mohd. Azam, 19, pula, dia berterima kasih kerana pemberian BAP ini diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6 sepertinya.
“Sekurang-kurangnya dapat saya gunakan bantuan itu untuk membeli buku-buku kan,” katanya.
Di Shah Alam, Selangor, seorang peniaga, Nawawi Zain, 55, berkata, pemberian BAP itu sekurang-kurangnya dapat menjimatkan perbelanjaan keseluruhan bagi dua anaknya yang masih bersekolah.
“Syukur sebab sedikit sebanyak dapat ringankan beban. Boleh kita buat persediaan awal dan masa untuk cari barangan keperluan sekolah yang bagus dan murah.
“Harga barang sekarang banyak yang naik jadi saya akan gunakan sebaik mungkin bantuan diterima,” katanya.
Di Gua Musang, Kelantan, ibu bapa murid Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Brooke di sini, turut melahirkan rasa syukur dengan pemberian BAP lebih awal bermula minggu depan.
Seorang ibu, Zaiton Anjang, 38, berkata, bantuan tunai RM150 itu cukup besar bagi masyarakat Orang Asli sepertinya yang tidak mempunyai pendapatan tetap setiap bulan.
“Terima kasih kepada pihak kerajaan. Duit itu dapat kami beli keperluan anak-anak seperti baju, kasut dan beg sekolah,” katanya.
No comments:
Post a Comment