Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Sebahagian kenderaan perdagangan khususnya lori di negeri ini dikesan menggunakan tayar botak yang tidak selamat dan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, sebanyak 65 kes penggunaan tayar botak dikesan sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Gempur Teknikal di seluruh negeri sejak 25 Disember lalu.
“Penggunaan tayar haus berlebihan (botak) antara kesalahan tertinggi dikesan dalam operasi yang dikhususkan kepada kenderaan perdagangan tersebut.
“Ia amat berbahaya kerana tayar haus tersebut kurang mencengkam pada permukaan jalan raya, sekali gus meningkat risiko kemalangan,” katanya ketika ditemui semasa mengetuai Operasi Khas Gempur Teknikal berhampiran Plaza Tol Gemuroh, di sini kelmarin.
Dalam operasi itu, seorang pemandu lori berusia 24 tahun ditahan kerana tidak memiliki lesen memandu dan lesen lesen kenderaan barangan (GDL).
Mohd. Zamri berkata, risiko kenderaan perdagangan yang menggunakan tayar botak semakin meningkat apabila membawa lebih muatan sehingga boleh menyebabkan masalah brek.
Beliau berkata, selain operasi penguatkuasaan JPJ, pemeriksaan berkala penting bagi memastikan kualiti tayar digunakan kenderaan perdagangan.
“Dalam operasi sama, kita telah memeriksa 3,766 buah kenderaan perdagangan.
“Sebanyak 613 notis kompaun telah dikeluarkan termasuk tertinggi memasang cermin gelap (158 kes),” katanya.
Mohd. Zamri berkata, selain itu kesalahan lain dikesan adalah melibatkan lesen memandu kompeten (CDL) dan GDL tamat tempoh.
Tambahnya, Operasi Khas Gempur Teknikal tersebut akan diteruskan sehingga 31 Januari depan bagi memastikan pematuhan syarat pematuhan kenderaan perdagangan.
No comments:
Post a Comment