Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Selepas lebih sebulan menunggu akhirnya duda anak lima menjalani hukuman sebat depan khalayak ramai di dalam masjid atas kesalahan khalwat berulang di Dewan ‘Aazim Masjid Al Muktafi Billah Shah di sini semalam.
Mohd. Affendi Awang, 42, menjalani hukuman sebat sebanyak enam kali di hadapan Timbalan Pengarah Penjara Marang, Mohd. Irwan Awang.
Tukang rumah yang memakai pakaian lokap berwarna merah dan memakai pelitup muka itu kelihatan tenang dan reda sewaktu menerima hukuman itu yang mengambil masa kira-kira dua minit bermula pukul 2.50 petang.
Dia menjalani hukuman itu dalam keadaan berdiri membelakangi sebuah meja mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Bahagian belakang Mohd. Affendi dirotan oleh seorang tukang sebat lelaki dari Jabatan Penjara Marang.
Terdahulu, Mohd. Affendi dibawa pekarangan masjid dengan menaiki van sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pakar perubatan pada pukul 2.30 petang.
Dia yang kini menjalani hukuman penjara enam bulan dibawa keluar setelah selesai menunaikan solat Jumaat di Penjara Marang pada pukul 1.45 petang.
Seramai 90 individu termasuk pengamal media dibenar memasuki dewan masjid untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman tersebut.
Kesemua mereka turut melalui prosedur ketat termasuk perlu menyerahkan telefon bimbit masing-masing kepada pegawai Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.
Terdahulu, Mohd. Affendi dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya oleh Hakim Kanan Syarie, Kamalruazmi Ismail atas kesalahan berkhalwat buat kali ketiga di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, 20 November lalu.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa berkhatwat dengan seorang wanita berusia 52 tahun yang bukan isteri dan mahramnya sekali gus menimbulkan syak perbuatan tidak bermoral di sebuah rumah di Pengkalan Ranggon, Kemaman pukul 1.40 pagi pada 16 Jun lalu.
Mengikut fakta, serbuan dilakukan pasukan penguat kuasa Jabatan Hal Agama Islam Terengganu mendapati Mohd. Affendi berdua-duaan bersama wanita terbabit di ruang tamu rumah berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang memperuntukkan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara boleh dikenakan bagi kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Sebelum itu, Mohd. Affendi menjadi pesalah pertama dikenakan hukuman sebatan atas kesalahan melakukan kesalahan khalwat berulang oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, 19 Februari lalu.
Dia dijatuhi hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 ke atas tertuduh oleh Hakim Syarie Hamidi Shafie setelah mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang wanita berusia lingkungan 30-an antara pukul 1.10 pagi hingga 2.15 pagi, 25 Januari lalu.
Mohd. Affendi yang mempunyai lima anak berusia 16 tahun hingga 21 tahun juga pernah didenda RM2,700 juga atas kesalahan berkhalwat oleh Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 11 Julai 2023.
Hukuman sebat di khalayak ramai itu sepatutnya dilaksanakan pada 6 Disember lalu, namun terpaksa ditangguhkan ekoran permohonan semakan.
Panel hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Disember lalu kemudiannya sebulat suara bersetuju keputusan menjatuhkan hukuman itu menetapi Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 pada 11 Disember lalu.
No comments:
Post a Comment