Translate

Monday, January 6, 2025

Mangsa banjir rai tahun baharu di PPS

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA, MASTURAH SURADI, MOHD. AZLI ADLAN dan FARAHWAHIDA AHMAD 

PETALING JAYA – Berpuluh-puluh penduduk di Johor dan Kelantan terpaksa meraikan kehadiran Tahun Baharu 2025 dalam suasana duka apabila kediaman mereka dinaiki air susulan kejadian banjir yang berlaku sejak minggu lalu. 

Lebih menyedihkan apabila kebanyakan mereka terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. 

Di Kelantan, seramai 23 orang mangsa banjir masih berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Rantau Panjang, Pasir Mas dekat sini susulan limpahan air Sungai Golok sejak beberapa hari lalu. 

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, kesemua mangsa yang terdiri daripada tujuh buah keluarga itu ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Gual To’ Deh di sini.

 Menurutnya, enam buah PPS yang sebelum ini menempatkan seramai 417 mangsa di Tanah Merah ditutup sepenuhnya. 

Sementara itu, laman web Public Info Banjir melaporkan, hanya Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan bahaya iaitu 10.2 meter (m) iaitu melebihi paras 9 m meskipun tiada hujan melanda kawasan Pasir Mas sejak malam kelmarin. 

Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan pula berkata, keadaan cuaca semasa di 10 daerah di Kelantan pada pagi semalam dilaporkan cerah. 

 Di Johor, seramai 68 penduduk daripada 17 keluarga turut ditempatkan di dua PPS di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili. 

PPS terbaharu yang dibuka pada pukul 11.45 pagi semalam melibatkan Balai Raya Kampung Perpat yang menempatkan 26 mangsa daripada lima keluarga. 

Sementara PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Gembut pula menunjukkan peningkatan kepada 42 mangsa daripada 12 keluarga, manakala PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas pula ditutup pukul 1 tengah hari semalam. 

Di Terengganu, gelombang banjir terbaharu yang melanda Terengganu sejak minggu lalu pulih sepenuhnya semalam. 

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, dua PPS yang beroperasi di Besut sebelum ini telah menutup operasinya pada pukul 10 pagi. 

“Kesemua 44 mangsa daripada 12 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir surut sepenuhnya. 

 “Sebelum ini mereka berada di PPS Masjid Kampung La dan Dewan Terbuka Kampung Belaoh,” katanya. 

Terdahulu, Terengganu kembali dilanda banjir gelombang seterusnya berikutan hujan lebat berterusan selama 20 jam bermula malam Sabtu lalu. 

 Seramai lebih 600 penduduk di Hulu Terengganu dan Besut terjejas dan terpaksa berpindah ke PPS.

No comments:

Post a Comment