Translate

Monday, January 13, 2025

Sabasun buka cawangan keenam di Kuala Dungun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

DUNGUN – Pasar raya milik bumiputera, Sabasun Hyperruncit Sdn. Bhd. (Sabasun) telah melabur sebanyak RM10 juta untuk pembukaan cawangan terbaharunya di Kuala Dungun di sini. 

Pengarah Eksekutifnya, Che Suhana Che Ibrahim berkata, pembukaan outlet berkeluasan 1,765.16 meter itu adalah yang keenam selepas membuka cawangan di Bukit Kecil,Kuala Terengganu; Wakaf Tembusu, Kuala Nerus; Cheneh dan Kijal, Kemaman serta Ajil, Hulu Terengganu. 

 “Pembukaan Sabasun cawangan Kuala Dungun ini sebagai memenuhi permintaan penduduk setempat dan ia beroperasi dalam tempoh tidak sampai setahun selepas majlis pecah tanah di laksanakan. 

 “Ia juga adalah simbol legasi yang ditinggalkan pengasas perniagaan ini, Allahyarham Che Salmi Che Ibrahim,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pembukaan Sabasun cawangan Kuala Dungun di sini yang telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Perumahan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah di sini semalam.

 Che Suhana berkata, cawangan terbaharu Sabasun itu telah memberi peluang kerja kepada 100 penduduk tempatan. 

 Tambahnya, Sabasun yang sudah beroperasi sejak tahun 1995 itu akan terus mengekalkan polisi hanya menggaji pekerja warganegara dan menyokong produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

No comments:

Post a Comment