Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula mengawal pekarangan Masjid Al Muktafi Billah Shah di sini yang akan menjadi lokasi hukuman sebat pesalah khalwat berulang dijadual selepas solat Jumaat ini.
Kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran proses pelaksanaan hukuman sebat terhadap Mohd. Affendi Awang, 42, terbabit dikendalikan 40 pengawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bermula pukul 12 tengah hari.
Tukang rumah berkenaan dijangka akan dibawa ke masjid tersebut dengan menaiki kenderaan Jabatan Penjara selepas solat Jumaat.
Tinjauan mendapati pekarangan Masjid Al Muktafi Billah Shah kelihatan aman walaupun mula dipenuhi jemaah yang mahu menunaikan solat Jumaat.
Terdahulu duda anak lima tersebut dijatuhi hukuman enam sebatan atas kesalahan berkhalwat buat kali ketiga di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu.
Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Disember lalu mengekalkan pelaksanaan hukuman sebat takzir yang pertama kali diadakan di negara ini tersebut di Masjid Al Muktafi Billah Shah.
Pelaksanaan hukuman sebat berkenaan akan diadakan di dalam dewan masjid tersebut dengan disaksikan 70 individu termasuk pengamal media. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment