Oleh MOHD AZLI ADLAN
SETIU – Gara-gara terperdaya dengan cinta maya seorang lelaki mendakwa diri sebagai juruterbang, seorang wanita berusia 51 tahun kerugian RM148,200 pada semalam.
Mangsa mendakwa menyerahkan wang simpanannya kononnya bayaran duti import dan kos penghantaran ‘hadiah’ yang dihantar lelaki tersebut pada 14 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, pada mulanya, mangsa telah menerima mesej daripada seorang suspek menerusi laman Facebook pada awal bulan lalu.
Beliau berkata, mangsa dan suspek yang menggunakan gambar profil seorang juruterbang itu kemudiannya berkenalan sebelum saling berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.
“Suspek kemudiannya telah menawarkan bungkusan hadiah kononnya mengandungi beg tangan, jam tangan, kasut dan duit bernilai AS$10,000 (RM47,127) sebagai tanda persahabatan.
“Begitupun tidak lama kemudian, mangsa telah dihubungi seorang individu mendakwa ejen penghantaran yang menyatakan kononnya bungkusan terbabit bermasalah,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Zain berkata, ejen tersebut didakwa telah meminta mangsa membayar duti import dan kos penghantaran bungkusan terbabit.
Tambah beliau, wanita berkenaan juga telah ditakutkan kononnya akan diambil tindakan perundangan atas pelbagai kesalahan jenayah sekiranya gagal membuat pembayaran berkenaan.
“Oleh kerana terlalu takut, mangsa telah membuat pembayaran keseluruhan berjumlah RM148,200 kepada suspek menerusi 23 transaksi di akaun-akaun bank berasingan antara 14 Jun hingga semalam,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment