Translate

Wednesday, June 19, 2024

Tonjol sisi ‘seksi’ sains dan teknologi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMEROSOTAN minat generasi muda terhadap mata pelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejak akhir-akhir ini perlu diberi perhatian.

Kebimbangan itu berasaskan bilangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil subjek Sains Tulen dan Matematik Tambahan yang dilihat sudah berkurangan sehingga 15.2 peratus.

Segelintir sekolah berasrama penuh (SBP) kini terpaksa melonggarkan dasar pengambilan Sains Tulen sepenuhnya agar tidak kehilangan pelajar berpotensi yang sanggup berpindah ke sekolah harian ekoran hilang kecenderungan terhadap STEM.

Senario itu sekiranya dibiarkan boleh merencatkan potensi Malaysia untuk menjadi negara peneraju berteknologi tinggi.

Perkembangan tersebut turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau baru-baru ini menggesa semua pihak memainkan peranan membantu kerajaan menarik semula minat generasi muda terhadap STEM.

Mengulas lanjut, pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Afiq Durrani Mohd. Fahmi mengakui penurunan minat generasi muda terhadap mata pelajaran STEM mula memberi impak terhadap kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Katanya, beberapa fakulti berteraskan STEM termasuk sains maritim di IPT seluruh negara mula mengalami kesukaran untuk memperoleh pelajar baru berkualiti.

“Isu kemasukan pelajar di fakulti-fakulti berkaitan STEM ini sedikit sebanyak memberi impak kepada IPT tempatan.

“Antara kesan langsung yang ketara ialah menjejaskan kerja-kerja penyelidikan yang merupakan antara elemen penting pengajian di IPT,” katanya.

Jelasnya, senario itu dalam jangka panjang dikhuatiri akan memberi kesan negatif terhadap penyediaan modal insan dan kepakaran bukan sahaja terhadap bidang sains, perubatan dan kejuruteraan, malah kelestarian alam.

Beliau percaya antara faktor utama penurunan minat genarasi muda terhadap STEM ialah persepsi mata pelajaran tersebut sukar dikuasai.

“Segelintir pula enggan melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan STEM ekoran kebimbangan tentang peluang kerja yang terhad.

“Stigma itu tidak benar, kita tidak boleh melihat peluang kerjaya STEM dalam sudut yang sempit,” katanya.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC), Dr. Wan Mohd. Rauhan Wan Hussin pula berkata, langkah perlu diambil untuk menarik minat masyarakat terhadap sains dan teknologi pada usia kecil lagi.

Jelasnya, pemegang taruh terutama pendidik perlu menonjolkan topik-topik ‘seksi’ atau menarik dalam sains dan teknologi bagi menarik perhatian masyarakat khususnya kanak-kanak dan remaja.

“Beri penerangan tentang STEM secara mudah dan kreatif untuk menarik seperti topik penerokaan benua Artik dan Antartika.

“Dekati masyarakat dan tonjolkan sains dan matematik ini sebenarnya amat dekat dan rele­van dalam kehidupan,” katanya.

Mata pelajaran STEM perlu digambarkan tidak berpaksi semata-mata kepada penyelidikan berjam-jam di makmal dan penyelesaian kiraan dan huraian teori berjela-jela tetapi ia adalah asas kepada kehidupan. -KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment