Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Maidam (YPM) melatih 27 belia asnaf untuk memperolehi sijil asas sektor minyak dan gas.
Pengurus Besar Instep, Azhar Ahmad berkata, program Latihan Teknikal Zakat Wakalah selama empat bulan tersebut yang berakhir baru-baru ini dibiayai sepenuhnya oleh Dana As-Syakirin.
“Dana tersebut merupakan sebahagian wang zakat kakitangan Petronas yang diagihkan menerusi inisiatif zakat wakalah.
“Ia digunakan untuk melatih golongan asnaf berkelayakan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasiona (TVET),” katanya pada majlis tamat latihan program Latihan Teknikal Zakat Wakalah berkenaan di Instep, Batu Rakit di sini hari ini.
Azhar berkata, program Latihan Teknikal Zakat Wakalah berkenaan bertujuan untuk meningkat taraf hidup belia asnaf terbabit dengan membuka ruang untuk mereka menceburi sektor minyak dan gas.
Tambah beliau, sepanjang tempoh empat bulan terbabit, pelatih berkenaan didedahkan dengan kemahiran asas elektrikal dan mekanikal.
“Mereka juga dibekalkan dengan program-program pensijilan tambahan seperti Ujian Tanpa Musnah (NDT), Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OGSP) dan Induksi Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan (BOSIET).
“Kesemua sijil tersebut merupakan prasyarat bagi bekerja di dalam industri minyak dan gas,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment