Translate

Wednesday, June 19, 2024

Dua bersaudara maut, Volkswagen rempuh pokok

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang lelaki bersama cucu saudara lelakinya maut selepas kereta Volkswagen dinaiki mereka merempuh sebatang pokok di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Mengabang Panjang di sini awal pagi ini.

Dalam kemalangan pada pukul 2.20 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu Samsul Bahri Awang Noh, 50, dan Nik Muhammad Syahidan Rosli, 20, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Jerteh, Besut dari Batu Rakit di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Volkswagen dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebatang pokok terletak di bahu jalan.

“Impak rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa kemudiannya melanggar sebuah besi enjin air yang berada di bahu jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, impak perlanggaran tersebut, besi enjin air berkenaan kemudiannya melantun mengenai but hadapan sebuah kereta Proton Iriz milik seorang penduduk tempatan yang diletakkan di dalam garaj rumahnya.

Tambah beliau, ia menyebabkan but hadapan kereta Proton Iriz berkenaan mengalami kerosakan.

“Mayat dua mangsa (Samsul Bahri dan Nik Muhammad Syahidan) telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment