KUALA TERENGGANU – Penduduk bandar raya ini dikejutkan penularan klip video seorang individu memandu kereta sambil memegang objek menyerupai pistol di lokasi dipercayai Jalan Sultan Mahmud berhampiran Batu Burok di sini hari ini.
Berdasarkan video berdurasi 37 saat itu, kereta tanpa nombor pendaftaran berwarna putih tersebut dilihat tiba-tiba meredah pembahagi jalan untuk memasuki laluan bertentangan.
Pemandu kereta tersebut juga dilihat mengacukan pistol ke arah kenderaan-kenderaan lain agar diberi laluan untuk membelok ke pembahagian jalan itu bagi memasuki laluan bertentangan dipercayai berhampiran sebuah stesen minyak di Batu Burok.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada pukul 4 petang.
Penyebaran video tersebut telah menimbulkan banyak spekulasi kononnya pemandu kenderaan tersebut terlibat dalam kes penculikan pelajar sebuah sekolah di bandar raya ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor yang dihubungu mengesahkan menerima dua laporan berhubung kes tersebut.
Beliau berkata, setakat ini, siasatan lanjut sedang dilakukan dan motif kejadian masih belum diketahui.
“Begitupun saya menafikan ia berkaitan dengan kes penculikan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment