Translate

Monday, June 3, 2024

Bayi 20 bulan maut dilanggar trak pikap bapa depan rumah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang bayi lelaki berusia 20 bulan maut akibat dilanggar bapanya secara tidak sengaja sewaktu mahu mengalihkan kenderaan pacuan empat roda di hadapan rumah mereka di Kampung Wakaf Kubor, Kampung Raja, Besut hari ini.

Kejadian tersebut berlalu pada pukul 9.30 pagi sebelum bayi tersebut disahkan meninggal dunia sejam kemudian ketika sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Sri Medang, Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohammad berkata, sebelum kejadian, bapa mangsa dikatakan mencuci kenderaannya di hadapan rumah.

“Sewaktu itu, anak lelaki itu iaitu mangsa dikatakan sedang bermain telefon bimbit di tangga rumah mereka.

“Selesai mencuci, dia menghidupkan enjin mahu mengalihkan kenderaan tanpa menyedarinya anaknya telah turun menuju ke arahnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, berlaku perlanggaran dan bapa mangsa yang menyedarinya telah bergegas membawa bayi tersebut ke Klinik Kesihatan Sri Medang untuk menerima rawatan.

Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan itu pada pukul 10.30 pagi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya menasihatkan individu yang mempunyai anak kecil agar lebih peka dan berhati-hati kerana risiko kemalangan seperti ini kerap berlaku di kawasan rumah sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment