Translate

Tuesday, June 25, 2024

Pemandu lori maut, kereta dirempuh Proton Persona hilang kawalan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang pemandu lori maut selepas kereta Proton Wira dinaiki dirempuh sebuah Proton Persona yang dipercayai hilang kawalan di Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja berhampiran Kampung Merang, di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 8.20 pagi itu, mangsa, Mohd. Shaifizi Fazli Rameli, 35, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian dada.

Penumpang kereta Proton Persona yang merupakan seorang suri rumah berusia 32 tahun pula cedera ringan pada bahagian dahi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Zain berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Shaifizi Fazli dikatakan dalam perjalanan ke Hospital Besut dari rumahnya di Kampung Padang Kemunting, Kuala Nerus.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Wira dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba dirempuh sebuah kereta Proton Persona dinaiki pasangan suami isteri dan bayi lelaki berusia setahun.

“Kereta Proton Persona yang dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh Proton Wira berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, mayat Mohd. Shaifizi Fazli telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu, di sini untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, penumpang wanita yang cedera ringan juga menerima rawatan di unit kecemasan hospital sama, manakala suami dan bayi lelaki mereka terselamat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment