Translate

Wednesday, May 13, 2015

UPM jadi pilihan lanjut pengajian pascasiswazah

SERDANG - Lebih 2,000 orang mengunjungi Pameran dan Hari Terbuka Pascasiswazah Universiti Putra Malaysia (UPM) sepanjang dua hari penganjurannya berakhir semalam di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini.

Ketua Seksyen Pengambilan Pelajar dan Promosi Sekolah Pengajian Siswazah UPM, Rahmawati Umar berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan hampir 600 permohonan telah diterima untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) bagi semester pertama 2015/2016.

“Mereka yang mendaftar program-program pascasiswazah UPM sepanjang program ini telah dikecualikan daripada membayar yuran pemprosesan pendaftaran program yang masing-masing bernilai RM63.60 bagi pelajar tempatan dan RM228.25 bagi pelajar antarabangsa.

“Seramai 1,800 pelajar disasar bakal mendaftar dalam 256 program ditawarkan meliputi bidang seperti pertanian, bioteknologi, perubatan, sains kesihatan, kejuruteraan dan ekonomi menjelang tarikh tutup permohonan pada 31 Julai depan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di semalam.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Abdul Rahman Mohd. Ali, 33, pula, berkata, Pameran dan Hari Terbuka Siswazah UPM tersebut memberi beliau banyak maklumat diperlukan sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah.

Katanya, dia sedang mencari universiti awam sesuai setelah ditawarkan untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Perniagaan Antarabangsa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment