Translate

Tuesday, May 19, 2015

98 acara menarik menanti di Fiesta Belia Putrajaya


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Festival Belia Putrajaya anjuran Kementerian Belia dan Sukan bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) selama tiga hari bermula 22 Mei ini menawarkan 98 acara khusus untuk golongan muda.

Presiden MBM, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, program yang akan diadakan di Dataran Gemilang, Putrajaya sempena sambutan Hari Belia Kebangsaan itu tidak hanya terhad kepada program hiburan semata-mata tetapi turut memfokuskan elemen kerohanian, kemahiran, ekonomi, pendidikan dan keusahawanan.

"Buat julung kalinya, generasi muda dari sembilan negara-negara Asia Tenggara turut dilibatkan dalam Fiesta Belia Putrajaya. Ia selaras dengan kedudukan negara sebagai Pengerusi ASEAN," katanya selepas majlis penajaan akhbar Kosmo! da Utusan Malaysia sempena Fiesta Belia di Wisma MBM di sini semalam.

Hadir sama Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusup, Ketua Penerangan MBM, Mohammad Rizan Hassan dan Eksekutif Jualan Utusan Melayu (M) Berhad, Ismail Mohd. Sidek.

Menurut Mua'amar Ghadafi Jamal berkata, seramai 108 peserta dari negara anggota ASEAN akan terlibat dalam pelbagai acara termasuk Jaringan Kemahiran ASEAN dan Kepelbagaian Makanan ASEAN.

Selain itu, katanya, pengunjung juga berpeluang untuk menceburi bidang keusahawanan menerusi program Pavilion Koperasi Belia Malaysia.


"Menyedari minat golongan muda terhadap bidang fotografi, MBM turut menganjurkan pertandingan Fotografi Putrajaya dengan hadiah keseluruhan sebanyak RM30,000.

"Tidak lupa juga, aktiviti kerohanian iaitu Malam Indahnya Bermunajat bersama Habib Najmuddin Syed Othman Al Khered," ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web festivalbeliaputrajaya.com

No comments:

Post a Comment