Ketua Pegawai Sektor Pemerkasaan Digital MCMC, Toh Swee Hoe berkata, ia sejajar dengan tema sambutan tersebut pada tahun ini iaitu Telekomunikasi dan ICT : Pemacu Inovasi.
"Seramai 20 juta atau kira-kira 67 peratus daripada rakyat Malaysia celik Internet manakala 15 juta daripada mereka memiliki sekurang-kurangnya satu akaun media sosial seperti Facebook.
"Namun kebanyakan mereka hanya menggunakan Internet sekadar medium untuk bersosial, membuka email dan mencari maklumat," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Swee Hoe berkata, kesedaran masyarakat negara ini untuk memanfaatkan Internet bagi mencipta pelbagai inovasi untuk memudahkan kehidupan seharian dan peluang perniagaan harus dipertingkatkan.
Menurut beliau, MCMC telah berusaha untuk meningkatkan lagi literasi Internet negara ini yang kini berada di tahap sederhana seperti pembukaan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dan penganjuran forum, bengkel dan program komuniti.
"Bagi memupuk minat terhadap ICT sejak di bangku sekolah, kita telah menganjurkan Liga Remaja Kreatif yang turut mendedahkan pelajar sekolah menengah dengan pengaturcaraan komputer untuk penciptaan aplikasi komputer," katanya.
Pada masa sama, Swee Hoe memberitahu, MCMC turut terlibat dalam beberapa projek dengan agensi kerajaan dan swasta mereka aplikasi komputer dan telefon pintar. Sebagai contoh, aplikasi waktu semasa pengangkutan awam yang merupakan kerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
"Aplikasi ini masih di peringkat ujian. Ia membantu pengguna pengangkutan awam mengetahui jadual, lokasi perhentian dan pergerakan bas yang hendak dinaiki.
"SMCMC juga bekerjasama dengan Pusat Perubatan Mahkota, Melaka mereka aplikasi pemantauan kesihatan seperti kadar tekanan darah, kadar gula dalam darah dan penimbang berat badan untuk pesakit luar hospital itu," katanya.
No comments:
Post a Comment