KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dan Indonesia perlu menjadikan budaya sebagai satu pertalian yang mengukuhkan semangat setia kawan dan mengeratkan penyatuan mereka, kata Tan Sri Dr. Rais Yatim (gambar).
Berucap melancarkan halaman ‘Khabar Indonesia’ terbitan akhbar Kosmo! di ibu pejabat Kosmo! di sini semalam, Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia itu berkata, Malaysia dan Indonesia dilahirkan dalam gugusan yang sama, namun rakyatnya sering berpecah akibat campur tangan pihak luar.
“Kita semua adalah daripada gugusan yang sama, tetapi wujud pihak-pihak yang sering kali cuba untuk mengacau supaya kita tidak bersatu dari segi politik dan urusan kerajaan.
“Namun, sebenarnya budayalah yang menjadi pertalian kita. Semangat setia kawan antara kitalah yang sepatutnya menyatukan kita. Kalau kita tidak dapat selesaikan dengan cara lain, kita guna budaya kita dengan sebaiknya (untuk merapatkan perbezaan),” kata Rais pada majlis pelancaran tersebut semalam.
Turut bersama Rais melancarkan halaman ‘Khabar Indonesia’ itu ialah Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno.
Sementara itu, Rais yang juga Pengasas Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI) berkata, penerbitan halaman ‘Khabar Indonesia’ itu membuktikan peranan media sangat penting dalam mengeratkan hubungan Malaysia dan Indonesia.
Rais turut menyatakan harapannya supaya lebih banyak berita mengenai warga Indonesia yang telah mengecapi kejayaan di Malaysia dipaparkan di media cetak Indonesia bagi tatapan rakyat di sana (Indonesia).
“Lebih kurang dua juta rakyat Indonesia bekerja di sini dan mereka menghantar duit kepada ahli keluarga di Indonesia dalam anggaran RM500 hingga RM1,000 setiap bulan.
“Perkara ini merupakan satu cetusan ekonomi yang gelombangnya sangat besar, malah banyak antara mereka yang telah meraih kejayaan di sini. Oleh itu mari kita huraikan kejayaan mereka melalui penulisan berita,” katanya.
No comments:
Post a Comment