Translate

Tuesday, May 26, 2015

Bank nafi susah lulus pinjaman rumah

Oleh ZULKIFLI MANZOR dan MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menafikan dakwaan bahawa bank-bank di negara ini mengenakan penilaian kredit yang sangat ketat sehingga menyebabkan banyak permohonan perumahan telah ditolak oleh pihak bank.
Pengarah Eksekutif ABM, Chuah Mei Lin berkata, walaupun mengambil berat tentang kadar hutang isi rumah, bank-bank tempatan telah memberi kerjasama penuh dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah di negara ini.
“ABM sentiasa menyokong inisiatif kerajaan untuk memudahkan golongan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah sendiri dengan terlibat secara langsung dalam Skim Rumah Pertama dan Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA).
“Malah jumlah permohonan pinjaman perumahan yang telah ditolak telah berkurangan kepada 18 peratus pada tahun 2014 berbanding 25 peratus pada tahun 2012,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mei Lin berkata, peningkatan dalam kelulusan pembiayaan sektor terbabit mencerminkan penambahbaikkan dalam penilaian kemampuan kewangan pemohon.
Tambah beliau, bank-bank yang bernaung di bawah ABM juga menawarkan pelbagai jenis pinjaman perumahan yang mengikut kehendak dan kemampuan pelbagai lapisan masyarakat.
“Sehubungan itu, orang ramai disaran memilih skim pinjaman perumahan yang sesuai dengan kemampuan mereka, selain telus dalam mendedahkan maklumat kewangan masing-masing ketika membuat permohonan.


Minggu lalu, akhbar melaporkan Presiden Syarikat Perumahan Negara Berhad, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh menggesa Bank Negara Malaysia (BNM0 agar meneliti semula syarat pinjaman perumahan bagi memastikan usaha kerajaan untuk menggalakkan setiap rakyat memiliki rumah sendiri selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Kesebelas dapat dipenuhi.

Beliau mendakwa walaupun terdapat usaha berterusan daripada kerajaan untuk membina rumah mampu milik tetapi proses penjualan tidak mencapai sasaran berikutan syarat pinjaman perumahan yang terlalu ketat.

Sementara itu, BNM menjelaskan pihaknya tidak pernah mengenakan had pinjaman, bagaimanapun sebarang kelulusan perlu berdasarkan kemampuan peminjam untuk membayar hutang terbabit.

Dalam pada itu, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) menyangkal kenyataan ABM bahawa tidak mengenakan pemeriksaan kredit yang sangat ketat ke atas pemohonan orang ramai yang mahu membeli rumah.

Naib Presiden HBA, Brigadier Jeneral (B) Datuk Goh Seng Toh berkata, kenyataan ABM tersebut bercanggah dengan respons yang diterima pihaknya daripada orang ramai.

"Kami mencabar kriteria data yang dikemukakan ABM berhubung perkara tersebut. ABM perlu mengkaji data sebenar orang ramai yang tidak layak memohon pinjaman perumahan dari bank-bank di Malaysia.

"Berdasarkan pelbagai maklumat yang HBA terima, semakin kurang individu yang layak mendapat pinjaman perumahan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

No comments:

Post a Comment