Translate

Tuesday, May 12, 2015

15,000 tiket sudah dijual


PENJUALAN tiket untuk perlawanan persahabatan antara kelab Liga Perdana England, Tottenham Hotspur dengan pasukan Pilihan Malaysia mendapat sambutan menggalakkan dengan kira-kira 15,000 tiket telah berjaya dijual setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents International Sdn. Bhd. (ProEvents), Julian Kam (gambar) berkata, pihaknya selaku penganjur dan promoter perlawanan persahabatan itu menjangkakan lebih 40,000 peminat bola sepak bakal membanjiri Stadium Shah Alam, Selangor bagi menyaksikan perlawanan tersebut pada 27 Mei ini.
“Bukan setakat peminat tempatan, ProEvents juga mendapat banyak permintaan daripada penyokong tegar Spurs dari negara jiran dan Asia Pasifik seperti Hong Kong, China, Thailand, Indonesia dan Singapura.
“Kami menjangkakan penjualan tiket perlawanan akan terus meningkat selepas Mauricio Pochettino (Pengurus Spurs) mengumumkan kesebelasan utama yang bakal diturunkan bagi menghadapi pasukan Pilihan Malaysia minggu depan,” katanya selepas menyerahkan 800 tiket penajaan untuk pembaca bertuah Kosmo! kepada Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin di pejabat Kosmo! di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur semalam
Hadir sama Pengarang Sukan Kosmo!, Asan Ahmad, Pengurus Iklan Kosmo!, Stella Abdullah, Pengarah Urusan ProEvents, San Boon Wah, Ketua Pegawai Operasi ShekhinahPR, Christopher Raj dan Pengarah Urusan TicketPro, Annie Ong.
Julian berkata, sebahagian besar pemain utama Spurs termasuk penyerang prolifik, Harry Kane yang dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik musim 2014/15 oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Professional England baru-baru ini dan kapten pasukan Perancis, Hugo Lloris dijangka diturunkan pada perlawanan menentang Pilihan Malaysia nanti.
Menurut beliau, kehadiran mereka diyakini mampu menarik lebih ramai penyokong bola sepak untuk menyaksikan perlawanan terbabit apatah lagi Malaysia merupakan satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara yang dikunjungi Spurs untuk persiapan pra musim 2015/16.
“Penyokong tegar Spurs tempatan dan Asia Tenggara sememangnya teruja untuk melihat kelibat pemain kegemaran mereka selepas kali terakhir pasukan yang mempunyai maskot ayam digelar Chirpy itu beraksi di Malaysia pada tahun 1979.
“Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh pasti menampilkan pemain-pemain terbaik Liga Malaysia termasuk lima tenaga import bagi memberi saingan sengit kepada Spurs untuk merebut Piala AIA,” ujarnya.
Spurs yang berpangkalan di Stadium White Hart Lane, London kini berada di kedudukan keenam dalam Liga Perdana England dan muncul naib juara Piala Liga musim ini.

No comments:

Post a Comment