Translate

Sunday, May 24, 2015

Genap setahun insiden langgar lari

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Selepas genap setahun pemergian pasangan suami isteri Jefri Mohd. Zain, 50, dan Noorsalawati Ibrahim, 40, yang maut dalam kemalangan langgar lari di susur Jalan Chan Sow Lin di sini, nasib lima anak mereka terus mendapat perhatian.
Kelima-lima beradik yatim piatu tersebut yang kini di bawah jagaan ibu saudara mereka, Zaina Mohd. Zain diziarahi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di rumah mereka dekat Pangsapuri Taman Desa Cheras di sini malam kelmarin.
Ismail yang ditemani isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan anak-anak mereka iaitu Nina Sabrina, Gadaffi atau Dafi AF, Nashriq dan Iqbal serta menantunya, Jovian Mandagie meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra dengan Mohd. Haikal, 17, Fatin Adlina, 15, Norsyamimi, 5, dan Nur Auni Safia, 4 tahun.

Anak ketiga Allahyarham Jefri dan Allahyarham Noorsalawati, Mohd. Aidil, 11, bagaimanapun tidak dapat bersama kerana bersekolah asrama di Bangi.

Bagaikan mahu melepaskan rindu terhadap lelaki bergelar ayah, Nur Auni memeluk erat Ismail  sepanjang pertemuan itu sambil mengalirkan air mata terharu dan enggan berpisah dengan Ahli Parlimen Bera tersebut dipujuk oleh pelakon Rebecca Nur Islam yang merupakan ibu angkat kepada lima beradik yatim berkenaan.

Terdahulu Ismail turut menyertai majlis tahlil yang dianjurkan Persatuan Penduduk Taman Desa Cheras sebelum menyampaikan sumbangan peribadi kepada lima beradik itu.

Sementara itu, Zaina memberitahu, kesemua lima anak saudaranya itu menerima bantuan bulanan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat masing-masing berjumlah RM700 dan RM450.

"Cuma Nur Auni sering tersedar daripada tidur dan menangis pada awal pagi kerana terkenangkan ibu bapanya," kata Zaina.

Kosmo! pada 24 Mei tahun lalu melaporkan Jefri, 50, dan Noorsalawati, 40, maut selepas motosikal yang mereka tunggangi digilis sebuah lori dalam kejadian langgar lari di susur Jalan Chan Sow Lin di sini.

Sewaktu kejadian pada pukul 8 pagi itu, pasangan suami isteri tersebut dalam perjalanan ke tempat kerja Noorsalawati di Jalan Chan Sow Lin.

No comments:

Post a Comment