Translate

Friday, May 29, 2015

Felcra buka ladang Harumanis di Perlis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Felcra Berhad (Felcra) akan memperluas cabang perniagaan peladangan bukan komoditi dengan menceburi penanaman buah mangga Harumanis di Perlis melibatkan pelaburan sebanyak RM5 juta.

Pengerusinya, Datuk Bung Moktar Radin berkata, ladang variasi mangga yang dianggap sebagai emas oleh penduduk utara tanah air itu akan dibina di tanah milik milik Felcra seluas 40.5 hektar di Lubuk Sireh, Padang Besar.

"Tanah tersebut didapati sudah kurang berdaya saing untuk penanaman kelapa sawit. Oleh itu, kami memutuskan untuk menukarkannya kepada penanaman pokok mangga Harumanis yang lebih memberi pulangan tinggi," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Bung Moktar berkata, Felcra telah bekerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bagi pembukaan ladang tersebut yang dijangka bakal bermula selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Katanya, ladang mangga Harumanis itu bakal menggunakan teknologi pertanian dari Unimap dan dijangka mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh dua tahun berbanding empat tahun pada kebiasaannya.

"Felcra menjangkakan bakal menerima pulangan besar daripada pelaburan tersebut memandangkan permintaan tinggi buah mangga terbabit di pasaran tempatan dan antarabangsa," ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Bung Moktar memberitahu, Felcra juga akan melancarkan projek penghasilan madu lebah kelulut melibatkan pelaburan RM280,000 di lokasi penanaman mangga Harumanis itu.

No comments:

Post a Comment