Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
SHAH ALAM - Seorang lelaki maut selepas treler membawa muatan batu-batu yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam sebuah tasik di Jalan Batu Arang berhampiran kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1 petang itu, mangsa terbabit disahkan meninggal dunia akibat lemas selepas beberapa minit berjaya dikeluarkan daripada tasik berkenaan oleh anggota bomba dan penyelamat.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, sewaktu kejadian, treler dari arah Puncak Alam, Kuala Selangor dekat sini dipercayai terbabas lalu terjunam ke dalam sebuah tasik berhampiran.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik di sini bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurutnya, lelaki berkenaan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dikeluarkan.
Tambahnya, bantuan penafasan yang diberikan oleh pegawai perubatan kepada mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an itu gagal dan dia disahkan meninggal dunia.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dekat sini untuk dibedah siasat," katanya.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mengenali mangsa atau kehilangan saudara kenalan terdekat diminta tampil di Unit Forensik HTAR bagi tujuan pengecaman.
No comments:
Post a Comment