SHAH ALAM – Merotan anak berkemungkinan menjadi kesalahan dalam akta baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (gambar kecil) berkata, hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan memandangkan negara ini telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Merotan anak merupakan sebahagian budaya masyarakat kita. Namun, kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut.
“Kita juga mengambil iktibar daripada rakyat negara kita (Azizul Rahim Awaluddin dan Shalwati Norshal) yang dihukum penjara kerana memukul anak di Sweden pada tahun lalu,” katanya selepas menghadiri program Santai Kopi O anjuran Komuniti Pertubuhan Wanita 1 Malaysia (Perwani) Shah Alam di Galeri Shah Alam di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Munirah Abdullah Bajanuddin dan Pengerusi Penyelaras Perwani Shah Alam, Radziah Ahmad.
Konvensyen mengenai CRC telah diterima dengan rasminya oleh PBB pada 20 November 1989 secara konsensus.
Rohani memberitahu, hukuman terhadap kesalahan merotan anak masih belum diputuskan dan rang undang-undang untuk mengubal Akta Kanak-Kanak 2001 sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara.Menurutnya, akta baharu itu akan turut melibatkan beberapa penambahbaikan antaranya tempoh hukuman penjara dan jumlah denda yang lebih setimpal dengan kesalahan membabitkan penderaan dan pengabaian anak-anak.
Beliau berkata, berdasarkan Akta Kanak-Kanak sedia ada, hukuman bagi kesalahan penderaan ialah denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan manakala hukuman bagi kesalahan pegabaian ialah denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun tahun jika disabitkan kesalahan.
"Kami berpendapat (hukuman) penjara dan denda tidak mencukupi dan mahu mengisi kerohanian mereka dengan mengenakan hukuman khidmat masyarakat supaya mereka dapat muhasabah diri dan timbul rasa sayang terhadap anak masing-masing," katanya.
Merotan yang dimaksudkan tu mungkin yang bersifat mendera. Kalau rotan sikit-sikit, ok kot. Kalau sampai patah riuk anak, kak tirana pun tak setuju.
ReplyDeleteitulah yang sepatutnya tapi ramai betul melatah dan meraban termasuk Menterinya sekali..hehehe
Delete