Translate

Sunday, June 16, 2013

Kaji semula cadangan naik tambang bas

SUNGAI SIPUT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) mengkaji semula cadangan mereka untuk menaikkan harga tambang bas sebanyak 30 peratus demi kepentingan pengguna.
Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, cadangan PMBOA itu mendapat maklum balas negatif daripada orang ramai.

“Saya tengok ramai yang membantah. Saya minta syarikat bas jangan hanya memikirkan keuntungan sahaja dan mengetepikan kebajikan dan keselesaan pengguna.

“Ini sesuatu kenaikan (tambang bas) yang mendadak. Selama ini kerajaan sudah bantu macam-macam dalam bidang pengangkutan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-48 Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad (KKTPB) di Kampung Batu 3, Lintang dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan PMBOA agar tambang bas ekspres dinaikkan sebanyak 30 peratus yang sedang diteliti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Presiden PMBOA, Datuk Mohammad Ashfar Ali memberitahu majoriti ahli persatuannya juga tidak akan melakukan jualan awal tiket-tiket bas ekspres untuk musim Hari Raya Aidilfitri sehinggalah hasil kajian cadangan tersebut diumumkan SPAD.

Hasan berkata, kenaikan tambang bas tidak boleh dilakukan sesuka hati sebaliknya memerlukan rundingan dan rujukan daripada agensi berwajib memandangkan ia melibatkan kepentingan awam.

No comments:

Post a Comment