Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Pembangunan infrastruktur kawasan luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak menjadi keutamaan dalam penyediaan Bajet 2014 yang akan di bentangkan Oktober depan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pembinaan kemudahan jalan raya bagi memudahkan jaringan perhubungan merupakan antara fokus dalam bajet itu.
“Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) telah meng gariskan pelan pembangunan di seluruh negara termasuk pembinaan kemudahan jalan di kawasan bandar dan luar bandar.
“Dalam Bajet 2014, pertimbangan akan diberikan bagi menambah peruntukan infrastruktur luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya di Pusat Khidmat Parlimen Tambun di sini semalam.
Ahmad Husni berkata, jumlah peruntukan tersebut akan ditentukan kemudian berdasarkan siri perbincangan yang bakal diadakan sepanjang penyediaan bajet itu.
"Tumpuan perlu diberikan kepada kawasan luar bandar terutama dari segi jaringan jalan dan semua ini kita perlu ambil kira.
"Lihat kes feri karam di Sarawak baru-baru ini sungguh menyedihkan apabila negara kita sedang maju, namun ada rakyat yang terpaksa naik feri pergi ke satu tempat selama dua, tiga jam," katanya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof sebelum ini dipetik sebagai berkata, kementeriannya akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Pusat bagi pembangunan infrastruktur di Sarawak terutama hubungan pengangkutan darat bagi mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap pengangkutan air.
No comments:
Post a Comment