IPOH - Waris pelajar tingkatan tiga yang ditahan kastam kerana membeli pelbagai senjata api tiruan melalui internet boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, penjaga remaja tersebut perlu bertanggungjawab terhadap perbuatan anak mereka yang masih di bawah umur.
“Walaupun senjata api yang dibeli adalah tiruan dan sebagai koleksi (hobi) namun ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Senjata Api 1960.
“Senjata tersebut amat berbahaya dan boleh mengancam nyawa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.
Akhbar semalam melaporkan, seorang remaja ditahan pada Isnin lalu selepas membeli lima set senjata api tiruan berupa senapang jenis M16, dua laras Air Rifle MP5, pistol jenis Glock dan Colt.45 automatik tiruan di internet
Perkara tersebut terbongkar selepas petugas kastam curiga dengan bungkusan senjata tiruan itu ketika melakukan imbasan di Unit Kastam Pos, Pejabat Pos Besar Ipoh Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri memberitahu, sebanyak 12 kes melibatkan pembelian dan pembuatan senjata tiruan telah dilaporkan di sekitar Perak sejak awal tahun ini.
"Kebanyakan individu yang ditahan kerana memiliki senjata tiruan tersebut memberi alasan menggunakannya untuk menembak haiwan seperti burung dan anjing," katanya.
Jelas beliau, menyimpan senjata api tiruan, buatan sendiri dan permainan yang menyerupai dan berfungsi seperti senjata tulen merupakan salah kesalahan jenayah.
“Individu yang disabitkan bersalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
No comments:
Post a Comment