Translate

Friday, June 28, 2013

Sindiket Fly By Night tidak pernah serik

IPOH – Sindiket 'Fly By Night' yang disangka terkubur berikutan penahanan lima anggotanya pada Januari tahun ini lalu rupa-rupanya masih aktif.
Terbaharu, 14 syarikat pengedar minyak pelincir, tayar dan alat gantian kereta di sekitar bandar raya ini menjadi mangsa mereka bulan lalu.
Kesemua mangsa mengalami kerugian hampir RM130,000 apabila sindiket tersebut membayar transaksi bagi pembelian barangan menggunakan cek palsu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, berikutan itu, satu pasukan khas ditubuhkan dan membawa kepada penangkapan tiga anggota sindiket berusia 34 tahun hingga 60 tahun di Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 17 Jun lalu.
“Turut ditahan ialah ketua baharu sindiket berkenaan yang berusia 40-an,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.
Mohd. Shukri berkata, dalam serbuan tersebut, polis menemui semula sebahagian barangan yang dilarikan seperti sebuah mesin kompresor angin, sebuah alat timbang tayar, peralatan membaiki kenderaan, sebuah mesin membuka dan memasang tayar serta empat gulung filem cermin gelap kenderaan.
Tambahnya, wang tunai berjumlah RM2,073, dua buah telefon bimbit, satu buku cek dan beberapa dokumen pendaftaran syarikat penipuan turut dirampas.
Menurutnya, sindiket 'Fly By Night' masih menggunakan modus operandi sama iaitu mendaftarkan syarikat menggunakan nama proksi, biasanya merupakan seorang penagih dadah yang sanggup menjual identiti mereka.
“Sindiket itu kemudiannya akan aktif membeli pelbagai alat gantian kereta, minyak pelincir dan tayar dalam kuantiti banyak dengan menggunakan cek tertangguh daripada akaun bank yang telah ditutup,” katanya.
Mohd. Shukri berkata, dua lagi anggota kumpulan berkenaan yang dikenali sebagai Lau Wai Hoon, 37 dan Chan Cheng Hean, 32 sedang diburu untuk membantu siasatan.
Kosmo! 5 Januari lalu melaporkan lima anggota sindiket 'Fly By Night' berusia 43 tahun dan 54 tahun termasuk perancang utama kumpulan itu ditahan di sekitar Taiping dekat sini dan Simpang Empat, Pulau Pinang.
Mereka didakwa memperdaya sekurang-kurangnya 10 syarikat pemborong barangan runcit, baja pertanian dan alatan pejabat sehingga menyebabkan kerugian hampir RM155,000.

No comments:

Post a Comment