Translate

Friday, June 7, 2013

Dua pekerja kilang pakaian rentung


PARIT BUNTAR - Dua operator pengeluaran warga Myanmar ditemui rentung manakala nasib tiga lagi rakan senegara mereka masih belum diketahui selepas sebuah kilang pakaian musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Labu Bawah, Bagan Tiang dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 4 petang itu, mayat kedua-dua mangsa yang identitinya masih belum dikenalpasti ditemui masing-masing di bahagian belakang dan hadapan kilang berkenaan.

Pengusaha Bomba Kanan 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Utara, Zainuddin Abdul Rahim berkata, mayat mangsa yang ditemui bahagian hadapan kilang dipercayai terperangkap selepas ditimpa serpihan bumbung yang runtuh akibat kebakaran itu.

“Kita percaya mangsa itu gagal keluar dari pintu hadapan bangunan kilang tersebut.

“Seorang lagi mangsa yang turut rentung ditemui dipercayai sedang tidur di bahagian belakang kilang berkenaan,” katanya di sini semalam.

Zainuddin berkata, tiga lagi pekerja kilang tersebut yang dilaporkan berada di lokasi berkenaan sewaktu kejadian masih belum ditemui.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka mungkin terperangkap di dalam timbunan sisa struktur bangunan itu yang musnah dalam kebakaran itu.

"Setakat pukul 8.30 malam, hanya dua mayat ditemui. Siasatan awal mendapati litar pintas sebagai punca kebakaran tersebut,"katanya.

Zainuddin memberitahu, kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian hadapan kilang terbabit sebelum merebak ke bahagian belakang yang dipenuhi dengan timbunan kain.

Difahamkan kilang berkenaan baru beroperasi sejak enam bulan lalu dan menggunakan sepenuhnya khidmat pekerja warga asing yang berasal dari Myanmar.

No comments:

Post a Comment