Translate

Friday, June 7, 2013

BMLR lancar program baharu ekspedisi alam semula jadi


MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BAGAN SERAI - Taman tema air terkenal Perak, Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) dekat sini memperkenalkan program baru, Ekspedisi 'Katakan Hello kepada Alam Semulajadi' yang disasar kepada murid sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengurus Besar MK Land Hotels & Resorts, Azahar Ahmad berkata, pakej berkenaan bertujuan memupuk semangat cintakan alam sekitar dan menyayangi haiwan di kalangan generasi muda.

“Peserta Ekspedisi Katakan Hello kepada Alam Semulajadi akan di bawa menjelajah Taman Eco yang seluas 1.62 hektar.

“Selain dapat berinteraksi secara langsung dengan haiwan yang terdapat di taman tersebut, mereka juga didedahkan dengan konsep pembelajaran unik oleh renjer bertugas,” katanya selepas majlis pelancaran Ekspedisi 'Katakan Hello kepada Alam Semulajadi' di Taman Eco, BMLR dekat sini semalam.

Turut hadir 30 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selamat, Simpang Empat dekat sini yang menjadi peserta terawal program ekspedisi tersebut.

Azahar berkata, sebagai program tanggungjawab sosial korporat BMLR, setiap peserta tanpa mengira usia hanya dikenakan caj RM6.

Katanya, ia jauh lebih murah berbanding kadar memasuki Taman Eco bagi pengunjung biasa iaitu RM16 bagi dewasa dan RM12 (kanak-kanak).

“Antara pengisian ekspedisi berkenaan ialah sesi memberi makan beruang, rusa, burung merak, ikan koi dan ikan arapaima serta pertunjukan ular.

“Manakala sesi Makmal Alam pula, peserta akan diberi pendedahan dan informasi mengenai kehidupan haiwan dan manfaat tumbuh-tumbuhan daripada renjer bertugas,” katanya.

Azahar berkata, pihaknya akan menjelajah ke kebanyakan sekolah di Semenanjung Malaysia bagi mempromosikan program yang mendapat sokongan Jabatan Pelajaran tersebut sepanjang bulan ini.

No comments:

Post a Comment