Translate

Friday, June 21, 2013

Skim gaji Senoi Praaq dikaji

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengkaji untuk mempertingkatkan lagi skim penggajian pasukan Senoi Praaq (polis Orang Asli) yang pada waktu ini lebih rendah berbanding skim perkhidmatan biasa.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata, kenaikan tangga gaji tersebut sejajar dengan kelulusan dan kebolehan anggota baharu polis daripada komuniti tersebut kini yang semakin baik.
"Skim gaji (pasukan Senoi Praaq) pada masa ini kurang sedikit berbanding skim perkhidmatan biasa.
"Pada pengambilan (Konstabel Orang Asli) kali ini, kita mendapati kebanyakan pelatih mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi berbanding pengambilan lalu, sebab itu kita kaji balik skim berkenaan," katanya selepas merasmikan upacara Tamat Latihan Asas Konstabel Orang Asli PDRM Siri 1/2013 di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta di sini semalam.


Pengambilan dalam tempoh 10 tahun selepas kali terakhir pada tahun 2003 itu melibatkan seramai 111 pelatih berketurunan Orang Asli, termasuk tiga daripada mereka berkelulusan Diploma.

Konstabel Mohamad Hafizan Mazlan, 23, dari suku Temuan yang mempunyai kelulusan Diploma Seni Bina Lanskap dinobat sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan.

Salleh berkata, mutu kerja anggota polis berketurunan Orang Asli kini sudah hampir setaraf dengan anggota dari kaum-kaum lain berdasarkan kelayakan, kebolehan dan kematangan mereka.

Berikutan itu, beliau memberitahu, Pasukan Gerakan Am (PGA) Orang Asli yang ditempatkan di Batalion 2, Bidor dan Batalion 18, Pengkalan Hulu telah didedahkan dengan penugasan baru berbanding hanya tertumpu di sempadan negara dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sahaja pada masa lalu.

“Terbaru, 100 anggota dari pasukan Senoi Praaq telah dihantar untuk membantu operasi keselamatan dan ketenteraman di Sabah,” katanya.

Kali terakhir semakan skim perkhidmatan Senoi Praaq dilakukan pada 11 tahun lalu.

Ia dilakukan selepas kerajaan meluluskan Skim Perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli pada 1 Januari 2002.



No comments:

Post a Comment