Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH – Buat julung-julung kalinya, sebanyak 13 kumpulan dram
terkenal tempatan dan luar negara akan menjelajah sekitar Perak sempena
Festival Dram Dunia Royal Belum selama lima hari bermula esok.
Pengurus Acara Kilauan Unggul E2 Events Sdn. Bhd. (Kilauan Unggul E2
Events), Ruzaini Abdul Razak berkata, lokasi yang dikunjungi oleh
kumpulan dram terbabit ialah Taiping, Lumut, Kuala Kangsar, Ipoh dan
Gerik.
“Penjelajahan ke lima tempat strategik di Perak itu bertujuan memberi
peluang seramai mungkin penduduk negeri ini menikmati keunikan
persembahan dram tersebut.
“Festival anjuran kerajaan negeri Perak melalui Tourism Perak dengan
kerjasama Kilauan Unggul E2 Events ini bakal bermula di lokasi pertama
iaitu Taiping Sentral Mall, Kamunting, Taiping Selasa ini (esok) dari
pukul 8 malam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Ruzaini berkata, selain persembahan dram di dalam kompleks beli-belah
Taiping Sentral Mall terbabit, semua persembahan dram di empat lokasi
lain dilakukan di pentas terbuka.
Menurut beliau, orang ramai akan dihiburkan dengan kebudayaan dan
irama dram pelbagai negara termasuk Eropah, Afrika dan Amerika Selatan
pada setiap persembahan termasuk acara kemuncak festival tersebut yang
akan turut dihadiri Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Padang
Lapangan Terbang Gerik pada Ahad ini.
“Selain tiga kumpulan dram terkenal tempatan, sebanyak 10 kumpulan
dari Brazil, Jepun, Ghana, India, Indonesia, Thailand, Singapura,
Azerbaijan, Korea Selatan dan Vietnam telah mengesahkan penyertaan.
“Setakat ini kumpulan Kelab Malwa Sabhyacharak dari India telah
sampai di Perak pada awal pagi tadi (semalam) dan akan disusuli
kumpulan-kumpulan lain selewat-lewatnya pagi lusa (Selasa),” katanya.
Sehubungan itu, Ruzaini menyeru orang ramai hadir beramai-ramai
memeriahkan festival dram dunia terabit dan kemasukan bagi semua lokasi
yang dijelajahi kumpulan dram berkenaan adalah percuma.
Penganjuran festival tersebut diadakan sempena Tahun Melawat Perak
2012 yang bertujuan memperkenal keindahan Taman Negeri Royal Belum,
Gerik yang berusia jutaan tahun sebagai destinasi pelancongan menarik
lagi menghiburkan.
No comments:
Post a Comment