MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
BAGAN SERAI - Seorang penduduk kampung terkejut bil elektrik rumah yang jarang didudukinya melambung di Kampung Lubuk Buntar, Se manggol dekat sini semalam.
Roslan Arshad, 47, mendakwa bilnya melambung tinggi sejak meter bacaan ditukar pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) tanpa pengetahuannya pada empat bulan lalu.
"Bil saya melambung sehingga lebih RM300 sebulan berbanding cuma RM30 dalam tempoh sama sebelum ini," ujarnya di sini semalam.
Menurut Roslan, biasanya rumah berkenaan hanya didiami purata 15 hari sebulan memandangkan dia dan keluargannya menetap di rumah lain di Taman Berkat, Taiping dekat sini.
“Hari lain, rumah itu tidak berpenghuni. Sebelum ini purata bil cuma RM30. Namun bil mula naik sejak meter bacaan ditukar pada Oktober lalu.
“Saya boleh terima lagi apabila caj bulan pertama dan kedua masing-masing RM67.36 dan RM73.62 tapi pada bulan lalu, bil melambung sehingga RM343.10,” dakwanya.
Tambah Roslan, perincian bil yang diterima pada 28 Januari lalu itu menunjukkan caj semasa cuma RM139.58 sementara baki RM203.50 pula dikelaskan sebagai Pelbagai.
Dia seterusnya mendakwa, Pejabat TNB Parit Buntar memberitahu caj RM203.50 merupakan anggaran penggunaan tenaga elektrik yang tidak dicaj sebelum meter bacaan rumahnya ditukar.
“Setelah didesak, pegawai TNB akhirnya datang ke rumah saya dan mendapati meter bacaan digital sebenarnya bermasalah," dakwanya.
Roslan mendakwa, walaupun dijanjikan penukaran meter bacaan baru dalam masa terdekat namun dia masih perlu membayar caj RM203.50.
“Saya tidak akan bayar caj pelbagai itu yang terbukti kesilapan bukan disebabkan kami sekeluarga. Ini tidak adil kepada saya sebagai pengguna,” dakwanya.
No comments:
Post a Comment