Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Satu sindiket memproses dan mengedar dadah jenis pil ekstasi
dipercayai antara yang terbesar di Lembah Kinta tumpas dalam serbuan
polis di Malim Nawar, Kampar dekat sini pada 3 Februari lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, dalam serbuan
di sebuah rumah yang dijadikan makmal dadah di Taman Malim Permai, Malim
Nawar itu pihaknya berjaya merampas dadah bernilai hampir RM9.2 juta.
"Sebanyak 46.2 kilogram serbuk disyaki ekstasi yang mampu menghasilkan 462,000 pil dadah jenis sama berjaya dirampas.
"Seorang wanita berusia 31 tahun dipercayai anggota sindiket yang
bersendirian di dalam rumah itu semasa serbuan turut diberkas," katanya
kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)
Perak di sini semalam.
Menurut Mohd. Shukri, dalam serbuan itu polis turut merampas 126 gram dadah jenis ketamin, dua botol plastik mengandungi asid, alat penimbang, ketuhar gelombang mikro, bahan penampal dan beberapa peralatan memproses pil ekstasi.
Katanya, sebuah kereta jenis Toyota Vios milik suspek yang dianggarkan bernilai RM40,000 turut disita dalam serbuan tersebut.
"Siasatan awal polis mendapati sindiket ini telah bergerak aktif memproses dan mengedarkan pil ekstasi di sekitar Ipoh, Kampar, Batu Gajah dan Tapah sejak dua bulan lalu.
"Suspek yang belum pernah mempunyai rekod jenayah lampau telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok (hari ini)," katanya.
Mohd. Shukri memberitahu, polis kini memburu saki baki anggota sindiket tersebut yang dipercayai telah melarikan diri selepas serbuan di makmal dadah terbabit.
Ujarnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mereka yang bersalah, jelasnya, boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
No comments:
Post a Comment