Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Lima kumpulan dram berharmoni kini sudah bersedia untuk mempersembahkan kehebatan masing-masing pada Festival Dram Dunia Royal Belum di Taiping Sentral Mall, Taiping yang bermula malam ini.
Pengurus Acara Kilauan Unggul E2 Events Sdn. Bhd. (Kilauan Unggul E2 Events), Ruzaini Abdul Razak berkata, jelajah sulung sempena festival itu akan disertai kumpulan Bonita dari Vietnam, Kelab Malwa Sabhyacharak (India), Natig Rhythm (Azerbaijan) dan Absolute Thai (Thailand).
"Selain itu, anak tempatan yang menganggotai kumpulan dram Taiping turut akan menunjukkan bakat mereka.
"Setiap kumpulan dram dari pelbagai negara itu akan menunjukkan kebudayaan dan irama dram dari negara masing-masing untuk santapan telinga pengunjung," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sebagai contoh, Ruzaini memberitahu, Natig Rhythm bakal mempersembahkan pertunjukan pukulan dram yang bertema gabungan irama Azerbaijan klasikal dan kontemporari jazz.
Menurut beliau, setiap kumpulan dram berkenaan dianggotai seramai 11 sehingga 20 pemain dram profesional yang kerap membuat pertunjukan di peringkat antarabangsa.
"Jelajah sulung persembahan dram terbabit di Taiping Central Mall akan berlangsung selama sejam bermula pukul 8 malam.
"Setiap kumpulan akan membuat persembahan selama 15 minit dan ia diadakan di ruang legar kompleks membeli-belah itu yang mampu memuatkan kira-kira 1,000 pengunjung," katanya.
Penganjuran festival tersebut yang diadakan sempena Tahun Melawat Perak 2012 bertujuan memperkenal keindahan Taman Negeri Royal Belum, Gerik sebagai destinasi pelancongan menarik lagi menghiburkan.
No comments:
Post a Comment