Translate

Friday, February 10, 2012

Dua lelaki bunuh 'ustaz' diarah bela diri

IPOH - Dua daripada empat tertuduh kes bunuh seorang pekerja sambilan sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar di sini pada 11 November 2008 diarah membela diri pada akhir kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

K. Nanda Kumar, 26, dan N.  Yugaraja , 34, dari Kampung Baru, Jelapang di sini dituduh membunuh Mohd. Khairuddin Mohamed Isa, 42, dalam kejadian samun di Stesen Minyak Petronas Gunung Lang di sini pukul 6.58 pagi.

Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim memerintahkan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh berkenaan.

Begitupun, dua lagi tertuduh iaitu N. Ganeson, 26, dari Rumah Murah, Jelapang dan M. Tayalan, 36, dari Kampung Razak, Jalan Kuala Kangsar dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit.

Siew Khim dalam penghakiman bertulisnya berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira keterangan saksi pendakwaan termasuk rakan sekerja, Mohd. Khairuddin yang turut menyaksikan pembunuhan terhadap mangsa.

Beliau menetapkan tempoh enam hari bermula 1 Mac hingga 26 Mac depan untuk Nanda Kumar dan  Yugaraja  yang diwakili peguam Rajit Gill mengemukakan saksi pembelaan.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, dalam kejadian tersebut, Mohd. Khairuddin atau lebih dikenali sebagai 'ustaz' oleh rakan-rakan setugasnya sedang bersiap meninggalkan stesen minyak berkenaan selepas hampir tamat waktu bekerja pada pukul 7 pagi.

Bagaimanapun, kumpulan perompak tiba-tiba masuk ke stesen minyak itu dan cuba mengambil wang di kaunter menyebabkan mangsa cuba menghalang perbuatan perompak itu.

Tindakan mangsa mengundang padah selepas salah seorang daripada mereka menetak tengkuk dan tangan kanan mangsa.

Keempat-empat perompak itu kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta bersama wang RM1,000 yang disamun.

No comments:

Post a Comment