Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
TAIPING - Lebih 80 peniaga pasar malam dan harian Kamunting berhampiran Hentian Bas Ekspres Kamunting di sini semalam berpiket membantah ketidakcekapan pihak pengurusan yang didakwa menyebabkan mereka kerugian.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peniaga Pasar Malam dan Harian Kamunting , Ramlan Rasul, 51, mendakwa pengurusan tapak berniaga terbabit kelam-kabut sejak diambil-alih Koperasi Usahawan Pasar Malam dan Harian Larut Matang Berhad sejak pertengahan tahun lalu.
"Mula-mula pengurusan naikkan sewa tapak daripada 50 sen kepada RM2 sehari dan kemudian kecilkan saiz tapak jualan daripada 3.05 meter x 3.05 meter kepada 1.83 meter x 0.91 meter semata-mata untuk membawa masuk lebih ramai peniaga.
"Sudahlah kena berniaga berhimpit-himpit, kutipan sampah pula tidak teratur menyebabkan persekitaran tapak pasar kotor," dakwa ketika ditemui Kosmo! selepas mengadakan piket bantahan di kawasan tapak pasar berkenaan dekat sini semalam.
Pasar malam dan harian Kamunting kini mempunyai hampir 600 peniaga dan dibuka pada setiap Rabu, Khamis, Sabtu dan Ahad.
Seorang lagi peniaga, Aziz Buah, 51, yang mencari rezeki di Pasar Malam Kamunting sejak 37 tahun lalu mendakwa permasalahan itu secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada majoriti peniaga di kawasan itu.
"Persekitaran kurang memuaskan itu dibimbangi akan menjejaskan kehadiran pelanggan. Sudahlah kadar sewa makin tinggi, tertekan kami.
"Bukan tidak pernah adu dan bincang dengan pengurusan Koperasi Usahawan Pasar Malam dan Harian Larut Matang Berhad tapi macam mencurah air di daun keladi sahaja," dakwanya.
Sementara itu, Setiausaha Koperasi Usahawan Pasar Malam dan Harian Larut Matang, Azhari Mat Yusoff yang ditemui enggan mengulas dan memberitahu pengurusan koperasi hanya membuat kenyataan balas berhubung isu itu dalam masa terdekat.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete