Translate

Thursday, October 7, 2010

Kuat kuasa bahasa kebangsaan

AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD.AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini digesa memainkan peranan lebih berkesan dalam membantu kerajaan memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kesemua 146 PBT di seluruh negara supaya lebih tegas menguatkuasa Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.

“Sekiranya setiap PBT menguatkuasa undang-undang kecil dan garis panduan itu, saya percaya tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan dan premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

“Penguatkuasa undang-undang ini juga boleh mengelakkan kesalahan dalam penggunaan bahasa kebangsaan,” katanya semasa melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 di Stadium Indera Mulia di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 berkata, penegasan pelaksanaan dan penguatkuasaan itu adalah sejajar dengan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara seperti terkandung dalam Dasar Bahasa Negara.

Beliau berkata, semua syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan, kewangan dan insurans perlu mula memberi penegasan penggunaan bahasa kebangsaan terutama dalam dokumen rasmi, papan tanda dan borang-borang yang digunakan.

“Saya juga menyeru kepada semua pemimpin syarikat-syarikat korporat supaya tidak meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian.

“Ia penting bagi memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam dunia perniagaan dan perdagangan hari ini serta mempunyai nilai ekonomi yang tinggi,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri pada majlis itu turut melancarkan portal Pusat Rujukan Persuratan Bahasa http://prpm.dbp.gov.my yang disediakan percuma bagi membolehkan orang ramai boleh membuat carian perkataan dan istilah bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment